Malaysia masih destinasi pelaburan menarik, kata Guan Eng 


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ia dibuktikan menerusi peningkatan FDI pada suku kedua 2019.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2019.

PENINGKATAN pelaburan langsung asing (FDI), membuktikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur asing walaupun peningkatan ketegangan perdagangan, kata Lim Guan Eng.

Menteri kewangan berkata ini ditunjukkan melalui peningkatan 10.3% dalam saham FDI pada suku kedua 2019 kepada RM667.5 bilion berbanding RM605.1 bilion tahun lalu.

“Peningkatan mantap dalam jumlah saham FDI menunjukkan Malaysia masih mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa, di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat di seluruh dunia,” katanya ketika merujuk kepada dokumen Jabatan Pelaburan Antarabangsa Jabatan Perangkaan.

Lim turut menyifatkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan sebagai sebab di sebalik saham FDI yang semakin meningkat.

Mengekalkan jangkaan pasaran, Malaysia merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9% pada suku kedua 2019, di tengah kelembapan yang dialami oleh ekonomi serantau.

“KDNK Malaysia pada suku yang sama berkembang 4.9% tahun ke tahun, yang mempercepat pertumbuhan 4.5% pada suku pertama 2019, ketika ekonomi serantau mengalami kelembapan pertumbuhan. Pertumbuhan suku tahunan 4.9% KDNK adalah lebih baik daripada jangkaan pasaran sebanyak 4.7% seperti yang dilampirkan oleh Bloomberg.”

“Prestasi suku kedua yang lebih kukuh daripada dijangkakan telah meyakinkan Fitch untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2019 untuk Malaysia ke 4.6% daripada serendah 4.2%,” katanya dalam satu kenyataan.

Berhubung perkara itu kata Lim, berdasarkan trend separuh pertama, kerajaan menjangkakan KDNK sepanjang tahun akan berkembang sebanyak 4.5% -5.0%.

Minggu lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mengumumkan peningkatan FDI di seluruh sektor sebanyak 97.2% kepada RM49.5 bilion pada suku pertama 2019, daripada RM25.1 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

FDI yang diluluskan bagi sektor pembuatan melonjak sebanyak 74.2% kepada RM33.1 bilion pada separuh pertama tahun ini, daripada RM19.0 bilion pada tempoh yang sama sebelumnya.

Amerika Syarikat menyumbang sebahagian besar FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan pada RM11.7 bilion, diikuti oleh China dengan RM4.8 bilion, Singapura (RM3.1 bilion) dan Jepun (RM2.1 bilion).

“Mida menyatakan bahawa RM33.1 bilion FDI sektor pembuatan yang diluluskan akan mewujudkan 30,449 pekerjaan dalam masa terdekat. Kerajaan akan mengekalkan pendekatan mesra perniagaannya bagi menarik pelaburan ke negara ini dan mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. – 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen