Korea Utara selar Korea Selatan adakan latihan ketenteraan dengan AS


Tentera Amerika Syarikat menjalankan latihan ketenteraan dengan tentera Korea Selatan.– Gambar EPA, 20 Ogos, 2019.

AKHBAR rasmi Korea Utara pada Selasa menyelar langkah Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan memberi amaran Seoul akan menanggung akibatnya kesan daripada tindakan itu, lapor agensi berita Yonhap.

Sesi latihan yang berakhir lewat hari ini itu, menurut Seoul sebagai sebahagian persediaan meningkatkan tahap keupayaan dan bukan untuk menyerang mana-mana pihak sebagaimana didakwa Pyongyang.

Memetik laporan akhbar Rodong Sinmun, Korea Selatan sengaja berniat menimbulkan ketegangan di rantau ini dengan memperkenalkan peralatan ketenteraan berteknologi tinggi dan meneruskan latihan walaupun berulang kali dibantah Korea Utara.

Korea Utara mengkritik tindakan Korea Selatan yang pada sama kononnya berbincang mengenai keamanan dan kerjasama rentas sempadan.

Sementara itu, Korea Utara sejak beberapa minggu kebelakangan ini sering menjalankan ujian peluru berpandu sebagai isyarat membantah latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan AS.

Awal minggu lalu, Korea Utara menegaskan dialog antara Korea tidak akan diteruskan melainkan Korea Selatan menawarkan “alasan munasabah” mengapa latihan itu perlu dijalankan. – Bernama, 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen