Sarawak Report cetus siasatan terhadap SRC International


Bede Hong Timothy Achariam

Pegawai penyiasat SPRM Rosli Husain berkata kertas siasatan terhadap SRC International dibuka berdasarkan kepada artikel disiarkan Sarawak Report pada 2015. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu artikel yang disiarkan oleh Sarawak Report mencetuskan siasatan pada 2015 berhubung penyelewengan dana awam di SRC International.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain memberitahu mahkamah artikel itu digunakan sebagai asas untuk membuka kertas siasatan pada 11.30 pagi, 2 Julai, 2015, hari yang sama ia disiarkan.

Artikel Sarawak Report itu bertajuk “SENSATIONAL FINDINGS! – Prime Minister Najib Razak’s Personal Accounts Linked To 1MDB Money Trail MALAYSIA EXCLUSIVE!”.

Rosli berkata bukan artikel dari The Wall Street Journal (WSJ) yang menyebabkan siasatan terhadap SRC International dimulakan.

Ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh, Rosli berkata beliau tidak dirujuk kepada artikel WSJ, “Investigators believe money flowed to Malaysian leader Najib’s accounts amid 1MDB probe” yang disiarkan pada 2 Julai, 2015.

Rosli berkata beliau tidak berhubung dengan pengarang Sarawak Report Clare-Rewcastle Brown dan beliau tidak mengarahkan pegawai bawahannya untuk menghubungi Rewcastle Brown.

Rosli ialah pegawai penyiasat dalam siasatan SRC International pada 6 Julai, 2015, dan menafikan tahu tentang sebarang maklumat dibocorkan kepada media.

Sarawak Report disekat oleh kerajaan pada Julai 2015 dan waran tangkap dikeluarkan terhadap Rewcastle-Brown tahun itu kerana menjalankan aktiviti “merosakkan demokrasi berparlimen”.

Jabatan Imigresen menghalangnya masuk ke negara ini, dan sekatan perjalanan itu dibatalkan beberapa hari selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu apabila Pakatan Harapan menang. – 20 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen