Diskriminasi terhadap rakyat Papua, gabenor Jawa Timur mohon maaf


Ribuan rakyat Papua mengadakan tunjuk perasaan di Jayapura, Manokwari dan Sorong sebagai bantahan insiden keganasan dan diskriminasi terhadap pelajar Papua di Surabaya. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2019.

GABENOR Jawa Timur Khofifah Indar Parwansa memohon maaf bagi pihak rakyatnya selepas berlaku insiden penderaan kaum terhadap pelajar Papua di Surabaya, lapor Jakarta Post.

Insiden itu menyebabkan protes besar-besaran di kebanyakan bandar di wilayah paling timur Indonesia, Papua dan Papua Barat.

“Bagi pihak rakyat Jawa Timur, saya mohon maaf kepada semua rakyat Papua kerana insiden penderaan kaum di Surabaya minggu lalu yang mencetuskan kemarahan di Jayapura dan Manokwari,” kata Khofifah dipetik dari portal itu.

Khofifah berkata beliau secara peribadi menghubungi Gabenor Papua Lukas Enembe untuk menyampaikan permohonan maaf atas layanan buruk diterima pelajar Papua di Jawa Timur, yang menyebabkan ribuan warga Papua mengadakan protes di jalanan.

Tunjuk perasaan itu bermula pagi semalam di beberapa bandar seluruh dua wilayah, termasuk bandar Jayapura di Papua, dan Manokwari dan Sorong di Papua Barat.

Penunjuk perasaan membantah insiden sehari sebelum itu di mana pelajar Papua yang tinggal di sebuah bilik asrama di Surabaya mengalami penderaan secara fizikal dan verbal oleh pengawal keselamatan dan anggota organisasi massa yang menuduh warga Papua enggan meraikan hari kemerdekaan Indonesia ke-74 pada hujung minggu lalu.

Mereka merempuh asrama itu selepas menemui bendera Indonesia yang terjatuh berhampiran bangunan itu.

Sebahagian anggota keselamatan dikatakan menjerit kata-kata kesat terhadap pelajar Papua, dengan memanggil mereka “monyet” dan “anjing”

Kumpulan besar yang merusuh itu kemudian membaling batu ke arah bilik asrama itu sambil menjerit “halau Papua!” dan “sembelih Papua!” selama berjam-jam.

Ketua Polis Negara Tito Karnavian yang menemani Khofifah menyampaikan ucapan maaf itu, berkata keadaan di bandar-bandar terbabit kini terkawal.

Jakarta Post berkata kata-kata diskriminasi oleh beberapa individu itu tidak mencerminkan toleransi wilayah itu terhadap rakyat Papua yang tinggal di situ.

“Saya ingin menjemput semua pelajar Papua terus belajar di universiti kami. Polis akan memastikan anda semua selamat,” kata Khofifah. – 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen