PENGURUSAN Kumpulan Utusan Melayu Berhad mengadakan mesyuarat pagi ini dipercayai membincangkan kedudukan syarikat dan nasib penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang dilapor akan menghentikan operasinya esok, kata beberapa sumber di Utusan.
The Malaysian Insight difahamkan mesyuarat ahli lembaga pengarah Utusan itu membincangkan cadangan usaha menyelamatkan Utusan susulan laporan bahawa akhbarnya, yang dianggap mewakili suara Melayu, tidak lagi akan terbit minggu ini.
Mesyuarat turut dihadiri beberapa pimpinan editorial Utusan dan Kosmo, kata sumber.
“Ada beberapa pihak kemukakan cadangan untuk selamatkan Utusan sejak laporan operasi akhbar akan ditutup esok,” kata sumber, yang bagaimanapun tidak menjelaskan butiran lanjut mengenai cadangan itu.
Seorang lagi sumber menggambarkan pihak yang mengemukakan pelan penyelamatan itu sebagai “kesatria putih (yang) muncul untuk membantu”.
Sementara itu, sumber Kesatuan Wartawan Kebangsaan Utusan (NUJ-UM) menyifatkan laporan penerbitan Utusan dan Kosmo akan berakhir esok hanya khabar angin, antara lain cuba menjatuhkan moral kakitangan.
Menurut sumber khabar bahawa akhbar tidak lagi akan dicetak selepas esok datangnya daripada penerangan seorang editor kanan Kosmo kepada kakitangan akhbar itu, semalam.
“Pihak NUJ tidak ambil berat, kami hanya tunggu pekeliling hitam putih (sama ada Utusan dan Kosmo akan dihentikan operasi).
“Kami hanya dengar khabar angin itu tetapi tidak percaya.
“Perkara itu kami anggap cubaan pihak syarikat untuk menjatuhkan semangat kakitangan Utusan dan Kosmo,” kata sumber ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Jelas sumber, khabar angin itu mahu memburukkan nama NUJ selepas kesatuan sekerja itu melancarkan piket semalam bagi menuntut tunggakan gaji yang tidak berbayar sejak tiga bulan lepas.
Semalam, kakitangan Utusan melancarkan piket di luar bangunan syarikat itu di Jalan Utusan, berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka antara Jun hingga Ogos lalu.
The Malaysian Insight difahamkan Pengerusi Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheik Fadzir akan mengadakan pertemuan dengan semua kakitangan pada 5 petang ini untuk menjelaskan kedudukan terkini syarikat.
“Townhall petang hari ini melibatkan semua kakitangan,” kata sumber.
Utusan kini berdepan tindakan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia susulan masalah kewangannya serta kegagalan mencari pelabur untuk menyelamatkannya.
Ahli lembaga pengarah Utusan semalam memaklumkan kepada Bursa Malaysia mereka tidak pasti kumpulan itu dapat kembali pulih pada akhir tahun kewangan 2019.
Sementara itu, saham Utusan di Bursa Malaysia yang semalam ditutup pada 0.11 sen, pagi ini dibuka pada 0.09 sen.
Setakat 11 pagi tadi, nilainya merosot kepada 0.075 sen, yang terendah dalam masa sekurang-kurangnya lima tahun berdasarkan rekod di Bursa Malaysia. – 20 Ogos, 2019.
Komen