Trump bincang dengan Modi, Imran mengenai isu Kashmir


Presiden AS Donald Trump menggesa perdana menteri India dan Pakistan berusaha mengurangkan ketegangan di wilayah Kashmir. – Gambar AFP, 20 Ogos, 2019.

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump bercakap dengan perdana menteri India dan Pakistan pada Isnin, menggesa mereka agar mengurangkan ketegangan di wilayah Kashmir yang menjadi pertikaian.

“Bercakap kepada dua kawan baik saya, Perdana Menteri (Narendra) Modi dari India, dan Perdana Menteri (Imran) Khan dari Pakistan, mengenai perdagangan dan perkongsian strategik dan, yang paling penting, bagi India dan Pakistan untuk berusaha mengurangkan ketegangan di Kashmir,” tulis Trump di Twitter.

“Situasi yang sukar, tetapi perbincangan yang bagus!” tulis presiden.

Pada 5 Ogos, New Delhi membatalkan Perkara 370 dalam perlembagaan India yang memberikan autonomi khas kepada Kashmir.

Ia menjadikan negeri Jammu dan Kashmir terpisah kepada dua serta menurunkan status kepada wilayah kesatuan, mencetuskan perbalahan dengan Pakistan.

Kerajaan Modi juga menyekat kebebasan pergerakan di wilayah itu dan memotong talian internet dan telefon.

Kashmir - terbahagi antara India dan Pakistan sejak kemerdekaan kedua-dua negara pada 1947 - menjadi pencetus bagi dua perang besar dan banyak pertembungan lain dan paling terbaru pada Februari. – AFP, 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen