WALAUPUN rakyat Malaysia ada pengetahuan tentang kewangan, mereka cenderung terlupa berkenaan tingkah laku kewangan yang baik ketika membuat keputusan, kata Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Menurut Indeks Literasi dan Kemampuan Kewangan Malaysia (MYFLIC) Bank Negara, kadar literasi rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan marginal pada 2018 kepada 57.1 daripada 56.5 pada 2016.
Indeks itu mengurus kadar literasi berdasarkan kepada kesedaran, pengetahuan, kemahiran, tingkah laku dan sikap pengguna kewangan.
“Pengetahuan secara relatifnya ok. Mereka kata tahu mereka perlu untuk bajet, hidup mengikut kemampuan dan bersiap sedia jika berlaku kecemasan.
“Ini asas yang mereka tahu tetapi bila tentang tingkah laku, kami mahu masyarakat bertindak mengikut pengetahuan itu,” kata Pengurus Besar AKPK Nor Fazleen Zakaria kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata tidak mempunyai pengetahuan kewangan saja tidak cukup kerana rakyat Malaysia cenderung bermasalah bila membuat keputusan kewangan yang bijak.
Membuat pembelian yang tidak mampu secara berhutang, adalah contoh keputusan kewangan yang tidak bijak.
Nor Fazleen berkata AKPK sedang berusaha meningkatkan tingkah laku kewangan yang positif menerusi usaha seperti pendidikan kewangan di institut pembelajaran.

Baru-baru ini, Strategi Negara untuk Literasi Kewangan 2019-2023 turut dilancarkan.
Beliau berkata 37.5% peserta program pengurusan hutang di AKPK mengakui perancangan kewangan yang teruk antara punca masalah mereka.
Ia diikuti dengan kos sara hidup yang tinggi (32%), kegagalan dalam perniagaan (12%), perbelanjaan perubatan yang tinggi (6.7%), hilang pekerjaan (9%) dan lain-lain (1.8%).
Nor Fazleen berkata ada juga yang tidak tahu tentang kadar faedah yang dikenakan terhadap kad kredit dan kadar faedah untuk pinjaman pembelian kereta dan peribadi.
Kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk tahu sama ada mereka mampu bayar hutang atau tidak, berbanding mengkaji dengan terperinci butiran kewangan.
Katanya, seseorang perlu berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan mereka dan perlu memastikan pinjaman tidak melebihi 40% pendapatan bersih mereka.
Walaupun bank mungkin menawarkan produk yang boleh mencapai 50% daripada pendapatan bersih, literasi kewangan sangat perlu dalam membuat keputusan sama ada keputusan seumpama itu bijak atau tidak.
Jangan meminjam, pastikan nisbah anda selesa, katanya.
Katanya, selepas mengetepikan peruntukan daripada pendapatan bulanan untuk keperluan seperti pengangkutan, perumahan, makanan dan utiliti, setiap individu juga perlu cuba menyimpan sebahagian daripada baki pendapatan. – 25 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen