PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-55 hari ini, dengan saksi pendakwaan ke-57 dan terakhir, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain kembali memberi keterangan.
Semalam, Rosli memberitahu mahkamah yang Najib tidak menafikan tandatangan pada dokumen bank digunakan untuk menjalankan urus niaga adalah miliknya ketika beliau disoal SPRM pada 2015 dan 2018.
“Semua dokumen ini ditunjukkan kepada Najib (semasa siasatan SPRM) dan beliau mengesahkan ia tandatangannya. Tiada penafian di pihaknya,” kata Rosli memberitahu mahkamah.
Najib disoal pada 5 Disember 2015; 22 Mei 2018; dan, 24 Mei 2018.
Rosli semalam mengesahkan dokumen berkaitan dengan akaun Najib di AmBank, yang disita semasa serbuan di cawangan AmBank Raja Chulan pada 5 Julai 2015.
Dokumen tersebut termasuk surat arahan Najib atau pemegang mandat akaun bank peribadinya, bekas ketua pegawai eksekutif SRC international Nik Faisal Ariff Kamil.
Dokumen tersebut juga termasuk penerimaan terma, e-mel dan rekod transaksi berkaitan akaun Najib serta akaun milik anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.
Selepas pihak pendakwaan selesai pagi ini, peguambela akan memulakan soal balas, yang dijangka mengambil masa dua hari.
Pertuduhan terhadap Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012 dengan dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
Pemimpin berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa.
Pasukan peguam Najib diketuai oleh peguam Umno terkemuka Muhammad Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar perbicaraan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
1.02pm: Nazlan menetapkan tarikh bicara pada Khamis, 9 pagi.
Sithambaram memberitahu mahkamah peguam perlu ke mahkamah lain pada pagi Kamis untuk menghadiri pengurusan kes 1MDB.
Nazlan menetapkan perbicaraan SRC International bermula am 9.30 pagi Khamis.
Mahkamah ditangguhkan. Nazlan memberitahu peguam beliau mengendalikan kes lain esok.
12.58pm: Rosli berkata beliau turut mengambil keterangan daripada Zeti Akhtar Aziz, bekas gabenor Bank Negara Malaysia.
Katanya, beliau tidak menemui Zeti, tetapi menemu bualnya menerusi telefon.
12.32pm: Rosli memberitahu mahkamah mereka mengambil keterangan Low Taek Jho pada 27 November, 2015.
Harvinderjit bertanya Rosli jika beliau ada menunjukkan Low log perbualan itu.
Rosli berkata beliau tidak menunjukkannya kepada Low tetapi Low menafikan tahu mengenainya.
Rosli sebelum itu berkata beliau mengambil keterangan Low di Abu Dhabi.
12.25pm: Harvinderjit bertanya mengapa beliau terpaksa datang dan bertemu Rosli sebanyak tiga kali. Rosli berkata belia hanya menemuinya dua kali.
Yu sebelum ini berkata pernah ke SPRM tiga kali.
12.23pm: Rosli memberitahu mahkamah beliau memanggil Joanna Yu dan berjumpa dengannya dua kali pada Mei 2019 untuk mengesahkan nama dalam log perbualannya.
Harvinderjit mencadangkan Rosli sudah mengenali siapa mereka.
Rosli: Ia adalah untuk rekod. Apa masalahnya?
11.56am: Harvinderjit kini bertanya Rosli tarikh beliau mengambil kenyataan daripada beberapa saksi utama semasa penyiasatannya.
11.34am: Harvinderjit bertanya sama ada Rosli mengambil kenyataan daripada Ranjit Singh (saksi ke-55 pendakwaan) dan beliau berkata “Tidak”.
V. Sithambaram membantah hala tuju soalan itu. Harvinderjit memberitahu Nazlan beliau mahu bertanya kepada Rosli mengenai ketika beliau merekodkan kenyataan.
Sithambaram berkata Harvinderjit perlu bertanya kepada saksi sendiri bukannya pegawai penyiasat.
11.33am: Rosli berkata kenyataan saksi terakhir dicatatkan oleh SPRM pada Mei 2019. Saksi itu Shuzairizman Shuib yang merupakan pegawai penyiasat Bank Negara dan juga saksi No. 46.
11.27am: Mahkamah bersambung semula. Harvinderjit kini membawa Rosli meneliti artikel disebut sebelum ini yang disiarkan dalam Sarawak Report.
Dalam artikel itu, terdapat surat daripada Nik Faisal kepada AmBank, yang merupakan arahan tetap. Rosli mengesahkannya.
11.19am: Mahkamah berhenti rehat selama 10 minit.
11.01am: Harvinderjit: Adakah anda tahu siapa yang membocorkan semua dokumen ini daripada bank? Mengapa anda tidak menyiasat kebocoran itu?
Rosli: Saya tidak tahu siapa yang bocorkan dokumen itu. Sebarang siasatan mengenai perkara ini mesti dijalankan oleh pihak polis.
Kebocoran merujuk kepada artikel Sarawak Report yang diterbitkan pada 2 Julai 2015, empat hari sebelum SPRM memulakan siasatannya.
10.59am: Harvinderjit bertanya kepada Rosli mengenai kebocoran dalam SPRM mengenai kertas siasatannya kerana penyata bank disiarkan di Sarawak Report.
Harvinderjit bertanya sama ada dokumen transaksi bank bocor sebelum siasatan bermula. Rosli berkata ia boleh dianggap begitu tetapi beliau tidak tahu.
10.29am: Rosli ditanya sama ada beliau menyiasat kes lain selain 1MDB yang melibatkan Najib. Beliau menjawab “tidak”.
Harvinderjit: Saya mahu jelas? Saya tidak terlibat dalam kes lain yang melibatkan Najib kecuali SRC. Setuju?
Rosli: Ya, saya setuju.
Harvinderjit kini menunjukkan beberapa dokumen untuk mengesahkannya. Terdapat beberapa ketegangan kerana Rosli kelihatan bengang dengan soalan peguam yang mempersoalkan sebelum ini bila siasatan berakhir.
10.25am: Pada 12 Jun 2018, kertas siasatan itu sekali lagi diberikan kepada pengarah apabila SPRM diminta meneruskan siasatan.
Harvinderjit: Pernahkah anda bertemu dengan Tommy Thomas berhubung penyiasatan ini?
Rosli: Ya, selepas saya selesai siasatan. Saya rasa bertemu dengannya satu atau dua kali.
10.24am: Kertas siasatan diberikan kepada pengarah SPRM pada 31 Disember 2015, yang bermaksud siasatan sudah selesai.
10.22am: Selepas laporan dibuat, Prem pergi ke pejabat SRC International. Ini adalah beberapa hari sebelum serbuan Bank Negara ke atas AmBank.
10.19am: Rosli dilantik sebagai pegawai penyiasat pada 6 Julai 2015, beberapa hari selepas kertas siasatan diserahkan oleh seorang pegawai, Prem Raj, dari bahagian forensik perakaunan pada 3 Julai.
10.10am: Rosli berkata berdasarkan pengetahuannya, tiada pegawai SPRM menghubungi Clare-Rewcastle Brown, editor Sarawak Report.
10.08am: Rosli mengesahkan siasatan berasaskan artikel Sarawak Report, bertajuk “SENSATIONAL FINDINGS! – Prime Minister Najib Razak’s Personal Accounts Linked To 1MDB Money Trail yang diterbitkan pada 2 Julai 2015.
10.00am: Rosli kini sedang disoal balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh.
9.42am: Rosli meneruskan pengesahan dokumen berkaitan SRC International, termasuk papan memorandum yang disita oleh pihak berkuasa penguatkuasaan pada pertengahan 2015.
9.24am: DPP Suhaimi Ibrahim meminta Rosli mengesahkan dokumen yang terlibat dalam siasatannya.
9.15am: Pegawai penyiasat SPRM Rosli Husain mengambil tempat untuk memberi keterangan. – 20 Ogos, 2019.
Komen