KEBANYAKAN kelas kosong di beberapa sekolah yang dibuka semula di Kashmir semalam, susulan pertembungan di Srinagar hujung minggu lalu, dua minggu selepas India menarik balik autonomi dan dikenakan perintah berkurung.
Pihak berkuasa berkata 190 sekolah rendah dibuka semula di bandar itu tetapi hanya sebilangan kecil murid hadir di kebanyakan sekolah yang dikunjungi AFP.
Pada 5 Ogos lalu, India membatalkan status khas mengikut Perlembagaan yang diberikan kepada Kashmir, iaitu wilayah yang dihuni majoriti penduduk Islam.
Namun, beberapa jam sebelum keputusan itu diumumkan, India bertindak mengehadkan pergerakan penduduk dan menyekat perkhidmatan telefon serta Internet, selain mengerah ribuan tentera mengawal Srinagar.
Menurut sumber keselamatan, kira-kira 120,000 anggota tentera dikerah ke Kashmir, selain 500,000 tentera yang memang berada di bahagian utara wilayah di pergunungan Himalaya, yang memisahkan India dan Pakistan sejak 1947.
“Sekurang-kurangnya 4,000 rakyat ditahan di bawah Akta Keselamatan Awam (PSA) yang membenarkan hukuman penjara sehingga dua tahun tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan,” kata sumber kerajaan.
Sementara itu, pihak berkuasa enggan memberi sebarang komen mengenai jumlah mereka yang sudah ditahan, kebanyakannya ahli politik tempatan, aktivis, pemimpin perniagaan dan peguam.
Wartawan melaporkan, kira-kira 20% talian telefon sudah kembali beroperasi semalam, tetapi perkhidmatan telefon bimbit dan Internet masih disekat. – AFP, 20 Ogos, 2019.
Komen