TWITTER dan Facebook berkata ia menemui kempen dilakukan oleh China dengan menggunakan platform media sosial itu terhadap protes pro-demokrasi di Hong Kong.
“Kami mendedahkan operasi maklumat disokong oleh negara yang memberi tumpuan kepada keadaan di Hong Kong, khususnya gerakan protes dan gesaan mereka bagi perubahan politik,” kata Twitter dalam hantaran dalam talian.
Facebook berkata maklumat daripada Twitter membawa kepada penutupan beberapa laman, kumpulan dan akaun yang berasal dari China dan terlibat dalam operasi diselaraskan yang memberi tumpuan kepada Hong Kong.
Twitter berkata ia menggantung 936 akaun yang berasal dari China.
Perkhidmatan pemesejan mikro berpangkalan di California disekat di tanah besar China, banyak akaun yang mengaksesnya menggunakan “rangkaian peribadi maya” yang melindungi lokasi pengguna, kata Twitter.
“Berdasarkan siasatan intensif, kami mempunyai bukti yang boleh dipercayai untuk menyokong bahawa ini adalah operasi yang disokong oleh kerajaan,” katanya.
“Kami mengenal pasti kumpulan besar akaun berkelakuan dengan cara yang diselaraskan untuk menyebarkan mesej berkaitan dengan protes Hong Kong.”
Facebook menutup tujuh laman, tiga kumpulan dan lima akaun yang berasal dari tanah besar China yang dianggap sebagai sebahagian daripada kempen pengaruh yang memberi tumpuan kepada Hong Kong, menurut ketua polis keselamatan siber Nathaniel Gleicher.
Individu yang menjalankan kempen itu menggunakan “taktik menipu” termasuk akaun palsu sebagai organisasi berita, menyebarkan kandungan dan mengarahkan orang ke laman berita, kata Gleicher.
“Mereka sering menyiarkan berita dan isu politik tempatan termasuk topik seperti protes yang sedang berlaku di Hong Kong,” kata Gleicher.
“Walaupun mereka di belakang aktiviti ini cuba menyembunyikan identiti, siasatan kami menemui kaitan mereka dengan kerajaan China.”
Kira-kira 15,500 akaun menyertai sekurang-kurangnya salah satu halaman kempen Facebook, menurut rangkaian sosial itu. – AFP, 20 Ogos, 2019.
Komen