Remaja albino dibunuh kejam di Burundi


Golongan albino sering menjadi sasaran di beberapa negeri di Afrika untuk diambil anggota badan mereka bagi kegunaan ritual sihir. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2019.

MAYAT seorang remaja lelaki albino berusia 15 tahun ditemui dikerat di Burundi seminggu selepas hilang, yang merupakan pembunuhan pertama seumpamanya di negara itu dalam tempoh tiga tahun, kata kumpulan albino tempatan pada Ahad.

Golongan albino, yang mempunyai kulit putih dan rambut kuning akibat gangguan genetik disebabkan ketiadaan pigmentasi, kerap dibunuh di beberapa negara Afrika untuk diambil anggota badan mereka bagi kegunaan ritual sihir.

Remaja itu ditemui mati pada petang Sabtu di barat laut negara itu di tepi sungai Rusizi yang memisahkan Burundi dari DR Congo, tidak jauh dari kampung halamannya.

“Albino muda terbunuh dengan kejam… Pembunuhnya memotong kaki kanannya di paras lutut, lengan kanan dan lidahnya,” kata Kassim Kazungu, ketua persatuan tempatan Albinos Without Borders.

Lebih 20 albino dibunuh di Burundi sejak 2008, dengan kes terakhir pada 2016 apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemui mati dikerat selepas diculik dari rumahnya.

Kazungu berkata seorang kanak-kanak lelaki albino berusia empat tahun hilang sejak Oktober 2018 dari kampung Cendajuri berhampiran sempadan Tanzania, tetapi beliau tidak menaruh harapan untuk menemuinya dalam keadaan selamat. – AFP, 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen