Sudah tidak boleh tutup sekolah jenis kebangsaan, kata Khairy


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Menghapuskan sistem sekolah jenis kebangsaan sekarang akan mencetuskan 'huru-hara dasar kerajaan', kata Khairy Jamaluddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Ogos, 2019.

MALAYSIA sudah terlepas peluang semasa Merdeka untuk mewujudkan sistem persekolahan satu aliran dan semua rakyat harus menerima sistem pelbagai bahasa dan aliran yang dipakai sekarang, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menghapuskan sistem sekolah jenis kebangsaan sekarang akan mencetuskan “huru-hara dasar kerajaan”, kata pemimpin Umno yang dianggap mewakili suara sederhana dalam parti Melayu itu.

Bekas ketua Pemuda Umno dan menteri dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) itu sebaliknya menyarankan agar semua rakyat bersama-sama berusaha menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sistem pilihan.

“Kalau kita mahu sistem pendidikan tunggal, kita patut sudah melaksanakannya pada 1957 (semasa Merdeka) atau 1963 (ketika Malaysia dibentuk), tetapi syarat persekutuan kita membenarkan sekolah vernakular.

“Apabila kita sudah membenarkannya, susah untuk kita menghapuskannya,” kata Khairy pada forum anjuran Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah di Petaling Jaya, semalam.

Forum bertajuk “Beyond 2020: Fresh views, new visions” (Selepas 2020: Pandangan dan Wawasan Baharu) itu turut menampilkan dua pemimpin Pakatan Harapan, Liew Chin Tong dan Nurul Izzah Anwar.

Forum itu membahaskan dasar yang Malaysia perlukan selepas 2020, apabila berakhirnya Wawasan 2020.

“Kalau hari ini ada orang berkata kita perlu ada satu saja sistem pendidikan, yang bermakna tiada lagi sekolah Cina dan Tamil, akan ada nanti orang yang bertanya bagaimana pula dengan madrasah dan sekolah pondok? Kena hapuskan juga.

“Bagaimana pula dengan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah antarabangsa dan swasta?” tanya Khairy, menjawab soalan hadirin sama ada sekolah jenis kebangsaan perlu dikekalkan.

“Ia akan menyebabkan huru-hara dari segi dasar, dan huru-hara juga dari segi politik. Saya rasa itu tidak boleh,” katanya.

Dua pemimpin Pakatan Harapan, Liew Chin Tong dan Nurul Izzah Anwar turut hadir pada forum anjuran Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah di Petaling Jaya, semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Ogos, 2019.

Jalan keluar yang lebih wajar, kata Khairy, ialah dengan meningkatkan mutu sekolah kebangsaan sehingga ia jadi sistem pilihan dalam kalangan ibu bapa.

“Itulah yang perlu kita lakukan. Saya tidak tahu bagaimana… ia bukan sesuatu yang mudah.”

Sementara itu, Liew yang juga timbalan menteri pertahanan berkata, rasa kurang senang masyarakat terhadap sekolah jenis kebangsaan boleh ditangani sekiranya rakyat Malaysia mula melihat semua bahasa ibunda sebagai warisan kebudayaan negara.

Sekolah kebangsaan juga akan jadi sekolah pilihan sekiranya ia mula mengajarkan pelbagai bahasa dan jadi pelbagai budaya, katanya yang juga juga pengarah pendidikan politik DAP.

Tambah Liew, sesetengah sekolah jenis kebangsaan Cina sekarang sudah jadi “lebih kebangsaan” kerana mempunyai lebih ramai murid bukan Cina.

“Apabila kita tidak lagi curiga pada bahasa lain, apabila kita tidak lagi curiga antara satu sama lain, tetapi melihat semua bahasa sebagai warisan bangsa, apabila kita bertutur pelbagai bahasa, persoalan sekolah satu aliran tidak akan timbul,” kata Liew.

Sekolah satu aliran menjadi isu yang pasang surut dalam wacana umum, termasuk yang terbaru ketika polemik pengajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan yang dipertikaikan oleh rakyat bukan Melayu baru-baru ini. – 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen