POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mempertahankan usaha mereka mencari remaja Ireland, Nora Anne Quoirin dan meminta orang ramai berhenti daripada terus membuat spekulasi lanjut mengenai kematiannya.
Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop menegaskan tiada unsur jenayah dalam kematian Nora ekoran pelbagai teori timbul di media sosial, termasuklah ibu bapanya didakwa terlibat.
“Mayat dituntut lewat malam Jumaat lalu kerana keluarga mahu elak perhatian media.
“Polis telah mengerah anggota dan semua peralatan untuk mengesan remaja itu dan hasil siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah dalam kematiannya.
“Saya harap semua orang berhenti buat spekulasi. Saya tak mahu komen laporan tidak berasas yang dilaporkan media tertentu,” Mohamad memberitahu The Malaysian Insight.

Nora, 15, didapati hilang dari tempat penginapannya di sebuah resort, The Dusun Pantai Hill dekat Seremban, Negeri Sembilan pada 4 Ogos. Keluarganya tiba pada sehari sebelum itu untuk bercuti selama dua minggu.
Selepas operasi pencarian besar-besaran dilakukan masuk hari kesepuluh, mayatnya di temui di kawasan lurah berdekatan sungai kira-kira 2km dari resort penginapannya.
Banyak laporan media asing berkenaan Nora sejak mayatnya ditemukan iaitu apa yang mungkin berlaku kepadanya dan spekulasi dia mungkin diculik.
Terdapat juga laporan menyebut polis membawa ibu bapa Nora berjumpa bomoh untuk “berhubung” dengan anak mereka itu.
“Merepek. Untuk apa kami paksa mereka buat macam itu?” tanya seorang pegawai kanan polis yang terlibat dengan siasatan.
Sebuah tabloid Britain melaporkan polis membawa ibu bapa Nora berjumpa empat bomoh selepas usaha mengesan remaja itu menemui jalan buntu.
Tabloid itu mendakwa sekurang-kurangnya seorang pegawai kanan polis hadir ketika ibu bapa Nora berjumpa bomoh. – 20 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen