KERAJAAN China bercadang untuk merangsang bandar Shenzen dan menjadikannya “tempat lebih baik” daripada Hong Kong.
Selepas tunjuk perasaan selama berminggu-minggu yang melumpuhkan Hong Kong, Beijing kini meninjau peluang pembangunan di Shenzen.
Media kerajaan hari ini menyiarkan dokumen mengandungi garis panduan pentadbiran pusat untuk mengubah Shenzen kepada kawasan perintis “sosialisme dengan ciri-ciri China”.
Tanpa butiran khusus, dokumen tersebut antara lain mengandungi matlamat untuk mengubah “kekuatan ekonomi dan kualiti pembangunan” Shenzen kepada antara yang terbaik di dunia pada 2025.
Ia turut menyatakan hasrat kerajaan untuk membina integrasi lebih besar bersama Hong Kong dan Macau.
Menjelang 2035, bandar di selatan China itu bakal “mendahului di dunia” dalam daya saing ekonomi secara keseluruhannya, menurut dokumen itu.
Akhbar Global Times memetik pakar membayangkan Hong Kong pula berisiko jauh ketinggalan.
“Jika Hong Kong masih belum bersedia mengambil peluang menyertai pembangunan negara… pembangunan bandaraya itu akan menjadi terhad pada masa depan sedangkan Shenzen kini bergerak dalam tempoh yang sangat pantas,” kata Tian Feilong, profesor di Universiti Beihang dipetik Global Times. – AFP, 19 Ogos, 2019.
Komen