Persatuan restoran India Muslim nafi taja Zakir Naik


Diyana Ibrahim

Persatuan Restoran Mamak Malaysia didakwa memberi sumbangan kepada Zakir Naik dan keluarganya, dakwaan yang dinafikan dua persatuan utama restoran mamak di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2019.

DUA persatuan pengusaha restoran menafikan ahlinya menderma kepada penceramah kontroversi Dr Zakir Naik atau keluarganya seperti yang didakwa dalam satu mesej yang tular di media sosial hari ini.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menegaskan Persatuan Restoran Mamak Malaysia (PRMM) yang didakwa memberi sumbangan itu sebenarnya tidak wujud.

“Kita sudah buat semakan, sebenarnya persatuan itu tidak wujud, dan kita tidak faham mengapa Presma yang kena tempias dari dakwaan tular itu .

“Ia langsung tidak logik,” kata wakil Presma Ali Shajahan Kamaruddin kepada The Malaysian Insight.

Ali menambah Presma mempunyai kira- kira 4,000 ahlinya di seluruh Malaysia.

Presiden Persatuan Restoran India Malaysia (Primas) T Muthusamy juga berkata pihaknya tidak pernah mendengar nama persatuan yang ditularkan itu.

“Banyak pertemuan saya dengan persatuan India Muslim dengan badan bukan kerajaan tapi saya tak pernah nama persatuan itu,” katanya.

Jelas beliau, dakwaan menyatakan persatuan terbabit mempunyai 17,351 ahli di Malaysia juga  tidak masuk akal.

“Kononnya persatuan itu ada 17,351 restoran di Malaysia, itu sangat besar jumlahnya dan bagi saya tidak tepat.

“Daripada logistiknya, nak dapat 17,351 restoran India Muslim saja sangat mustahil,” katanya.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia dan Persatuan Restoran India Malaysia menafikan kewujudan Persatuan Restoran Mamak Malaysia yang didakwa memberi sumbangan kepada Zakir Naik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2019.

Kedua persatuan itu mengulas mengenai mesej yang tular di media sosial hari ini mengajak rakyat Malaysia memboikot restoran India Muslim kerana menderma kepada Zakir dan anak lelakinya.

Mesej tersebut mendakwa persatuan yang membuat derma tersebut ialah Persatuan Restoran Mamak Malaysia (PRMM) yang mempunyai sebanyak 17,351 ahli seluruh Malaysia.

Mesej itu mendakwa Zakir mendapat sumbang RM175,000 sebulan daripada restoran India Muslim kononnya untuk menghancurkan perpaduan di Malaysia.

“Secara tidak langsung semua orang terbabit bantu pelarian India ini jika pergi ke restoran ini. Mari kita boikot restoran mamak seluruh Malaysia,” kata mesej yang tular itu.

Pada masa sama Muthusamy berkata, mustahil jika ada ahlinya memberi derma atau sumbangan kepada penceramah itu tanpa pengetahuan persatuan.

“Biasanya untuk kutipan derma atau apa pun yang ahli ingin lakukan, bukan boleh dibuat sebarangan.

“Kena ada mesyuarat dulu, semua rekod atas kertas ada, jadi nak kata ada ahli yang derma itu sangat mustahil,” katanya.

Beliau menjelaskan Primas mempunyai 1,150 ahli terdiri pengusaha restoran nasi daun pisang dan 25% daripada ahlinya ialah India Muslim.

Muthusamay juga dalam pada itu tidak menolak kemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dari polemik berhubung kontroversi Zakir Naik.

“Saya tidak mahu komen apa pendirian Primas sebab isu ini sangat sensitif melibatkan kaum dan agama.

“Lagipun kes ini sedang dalam siasatan jadi biarlah polis yang tangani isu ini,” katanya.

Zakir dikecam oleh penduduk bukan Islam di negara ini susulan ceramahnya yang berbaur perkauman.

Beliau dalam ceramahnya baru-baru ini mempersoalkan kaum India di Malaysia yang katanya lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Zakir juga mempersoalkan kedudukan kaum Cina yang dianggapnya pendatang, yang terlebih dahulu perlu dihantar pulang ke China, jika ada pihak mahu beliau dihantar pulang ke India

Bagaimanapun, Zakir mendakwa ucapannya dilaporkan oleh media di luar konteks.

Sabtu lalu, Dr Mahathir yang sebelum ini beberapa kali mempertahankan pendakwah itu, berkata Zakir sudah melampaui batas apabila mengeluarkan kenyataan mengulas keadaan politik di Malaysia.

Polis juga memanggil Zakir untuk dirakam keterangan sebanyak dua kali iaitu pada Jumaat lalu dan hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata kes Zakir disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam. – 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen