KEMENTERIAN Dalam Negeri mesti menghormati taraf penduduk tetap (PR) pendakwah Dr Zakir Naik kerana ia adalah hak asasi manusia yang diiktiraf dunia dan negara bertamadun, kata Abdul Hadi Awang.
Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, presiden PAS itu berkata ini bermakna jaminan keselamatan yang perlu dijaga tanpa mengira agama dan bangsa, termasuk Zakir.
“Kerajaan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertegas dalam memberi jaminan keselamatan ini,” tulis Hadi.
Minggu lepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata taraf penduduk tetap Zakir boleh ditarik balik sekiranya pendakwah itu mencetus perbalahan kaum di Malaysia.
Zakir juga dihalang memberi ceramah di tujuh negeri dan dipanggil ke Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangan buat kali kedua susulan kenyataan kontroversi berkenaan penganut Hindu dan masyarakat Cina semasa ceramah di Kota Bharu, Kelantan awal bulan ini.
Dalam ucapannya, Zakir berkata penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada perdana menteri India berbanding kepada Dr Mahathir.
Beliau kemudian berkata jika terdapat pihak yang mahu beliau kembali ke India, maka masyarakat Cina yang digelarnya “tetamu lama” juga perlu pulang ke negara asal.
Hadi menerusi kenyataannya juga berkata PAS berpandangan ada tiga asas penting yang perlu dihormati dan diberi perhatian segera oleh semua pihak termasuk pihak berkuasa, parti politik, NGO dan pengamal media, malah Zakir sendiri.
“Pertama, budaya debat dan dialog adalah ruang demokrasi yang perlu dihormati.
“Semua pihak perlu bersedia untuk bersemuka dan berdialog secara ilmiah dan berhikmah, demi mencari ‘kebenaran dan kebersamaan’.
“Pihak RTM dan kerajaan negeri wajar memberikan ruang supaya budaya dialog ini dapat disuburkan, sebagaimana yang telah dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan tempoh hari.”
Tambahnya, semua pihak bertanggungjawab untuk menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama dalam negara.
“Siasatan juga perlu dilakukan terhadap pemimpin politik dan pengamal media yang menjadi ‘makhluk perosak’ yang mencetuskan kegelisahan ini,” kata Hadi.
Jelasnya, PAS dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sentiasa komited membela perpaduan kaum di negara ini dan terbuka mengadakan dialog dengan semua pihak atas prinsip kebenaran. – 19 Ogos, 2019.
Komen