Kaum minoriti Sabah perlu hentikan tuntutan 'tidak masuk akal'


Jason Santos

Presiden Perkasa Ibrahim Ali berkata kenyataannya bukan satu bentuk perkauman sebaliknya hanya memberi fakta bahawa masyarakat Pribumi adalah pemilik asal tanah di sini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2017.

KAUM minoriti di Sabah perlu hentikan membuat tuntutan “tidak masuk akal” terhadap dasar negara, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Ibrahim Ali dan menambah mereka sepatutnya berterima kasih kerana diterima menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Pemimpin kumpulan pendesak Melayu itu yang berada di Sabah hari ini untuk menghadiri persidangan tahunan khas Perkasa di Tuaran berkata, kaum minoriti tidak sepatutnya melampaui batas melainkan ia menafikan hak orang asal di negeri itu.

“Dalam konteks Sabah, saya mahu ingatkan kepada kaum minoriti yang juga rakyat Malaysia, bahawa kita menerima mereka sebagai rakyat Malaysia. Tapi jangan pijak kepala orang asal.

“Kini mereka buat permintaan tidak masuk akal. Permintaan yang bertentangan dengan perlembagaan dan dasar negara seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC),” katanya merujuk kepada masyarakat Cina.

Terdapat 32 kumpulan etnik rasmi di Sabah. Statistik dari 2015 menunjukkan 311,500 daripada keseluruhan 3.544 juta jumlah populasi masyarakat di Sabah terdiri daripada masyarakat Cina.

UEC adalah ujian standard bagi pelajar sekolah menengah Cina yang dianjurkan oleh kumpulan pendidikan Cina Dong Zong. Terdapat tuntutan baru-baru ini untuk Putrajaya mengiktiraf UEC bagi membolehkan mereka yang duduk untuk ujian itu dapat memperoleh pekerjaan di sektor awam, dan memasuki universiti awam.

Awal tahun ini Perkasa mengancam untuk menyaman kerajaan sekiranya Putrajaya mengiktiraf UEC. 

Ibrahim yang dihalang memasuki Sarawak tahun lalu berkata kenyataannya hari ini bukan satu bentuk perkauman sebaliknya hanya memberi fakta bahawa masyarakat Pribumi adalah pemilik asal tanah di sini. 

“Sebaliknya mereka yang membantah Perkasa mempertahankan hak orang asal inilah yang sebenarnya mengamalkan perkauman,” katanya.

“Apa yang Perkasa mahukan adalah orang asal di Sabah bersatu dan ketepikan sentimen agama dan tuntut hak mereka.”

Ibrahim berkata orang asal Sabah perlu menuntut hak mereka dalam banyak perkara seperti perniagaan dan pendidikan serta menambah Perkasa akan meneruskan usaha untuk menjadi pemangkin perpaduan dan mahukan hak ekonomi kukuh bagi masyarakat etnik tempatan di negeri itu.

“Mereka perlu dapatkan lebih lagi berbanding kaum minoriti. Mereka perlu kawal bidang komersial, termasuk ekonomi dan tanah.

“Sabah mempunyai sumber yang banyak jadi pentadbirannya perlu dikawal oleh masyarakat tempatan, yang mana tidak seperti negara lain yang mana 80% perniagaan dan pentadbrian dikuasai kaum minoriti,” kata Ibrahim.

“Rakyat Sabah tidak sepatutya merempat di bumi sendiri.” – 8 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen