Rusuhan di Papua, bangunan Parlimen turut dibakar


Ratusan penunjuk perasaan membakar bangunan parlimen tempatan hari ini di Papua selepas membantah penahanan sejumlah aktivis pelajar. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2019.

RATUSAN penunjuk perasaan membakar bangunan parlimen tempatan hari ini di Papua selepas membantah penahanan sejumlah aktivis pelajar.

Wartawan AFP di lokasi kejadian mengganggarkan ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan di Manokwari, ibu kota provinsi Papua Barat.

Beberapa penunjuk perasaan juga membakar kedai dan kenderaan, merosakkan jalan serta melempar batu ke arah bangunan kerajaan.

Timbalan Gabenor Papua Barat Mohamad Lakotani berkata, parlimen juga turut dibakar.

“Kedai dan pasar semuanya terjejas. Semua aktiviti harian lumpuh,” katanya kepada Kompas TV.

Tiga pegawai polis cedera apabila penunjuk perasaan membaling batu. Tidak jelas sekiranya ada penunjuk perasaan yang turut tercedera.

Pihak berkuasa turut menutup sesi persekolahan.

Papua yang menjadi lokasi pemberontakan selama bertahun-tahun terhadap pemerintahan Indonesia berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea (PNG) di utara Australia.

Rusuhan berlaku sebagai tanda protes susulan insiden 43 mahasiswa Asrama Papua di Surabaya dibawa secara paksa ke Balai Polis Resor Kota Besar (Mapolrestabes) pada Sabtu lalu kerana dituduh merosakkan bendera Malaysia yang terletak di asrama berkenaan.

Polis dikatakan tidak menjalankan siasatan terlebih dahulu malah melepaskan gas pemedih mata dan melemparkan makian kepada mahasiswa terbabit.

Kesemua mahasiswa berkenaan bagaimanapun dilaporkan telah dihantar pulang ke asrama setelah disoal siasat. –  AFP, 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen