PENCERAMAH kontroversi Zakir Naik sudah mengeluarkan notis tuntutan ke atas tiga orang ahli politik dan seorang bekas duta kerana didakwa memfitnahnya dalam kenyataan dan rencana ditulis mereka.
Beliau menuntut kesemua mereka meminta maaf dan menawarkan jumlah wang penyelesaian yang berpatutan dalam tempoh 48 jam atau berdepan risiko saman fitnah.
Notis itu dihantar kepada Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan bekas duta Dennis J Ignatius.
Ketiga-tiga ahli politik itu daripada DAP.
“Ya, kami sudah keluarkan notis hari ini kepada mereka berempat,” kata peguam Zakir, Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi.
Minggu lepas, tuntutan sama dibuat terhadap Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.
Menteri penggal pertama itu bagaimanapun menegaskan beliau bersedia berjumpa Zakir di mahkamah.
Kemelut antara mereka berkisar kepada ceramah disampaikan Zakir di Kota Bharu, Kelantan awal bulan ini apabila beliau didakwa mempersoalkan kesetiaan orang India Hindu Malaysia kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Zakir juga didakwa menggelarkan orang Cina Malaysia sebagai “tetamu lama” yang perlu “balik” menjawab desakan supaya beliau kembali ke India untuk berdepan pertuduhan jenayah berkaitan pengubahan wang haram, menyebarkan kebencian dan keganasan.
Zakir yang memegang status Penduduk Tetap (PR) mendakwa ucapannya dipetik di luar konteks dan beliau sebenarnya memuji Malaysia kerana melayan orang India Hindu dengan baik, selaras dengan ajaran Islam.
Polis menyoalnya selama lima jam pada Jumaat lepas dan akan mengambil keterangannya sekali lagi hari ini. 115 laporan diterima polis berkaitan isu itu. – 19 Ogos, 2019.
Komen