64% rakyat AS sokong perdagangan bebas


64% rakyat Amerika, termasuk majoriti Demokrat dan Republikan, menyokong perdagangan bebas dengan negara asing kerana ia membuka pasaran baharu dan negara tidak boleh mengelak hakikat satu ekonomi yang global, dedah tinjauan pendapat NBC/Wall Street Journal. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2019.

SOKONGAN terhadap perdagangan bebas dalam kalangan rakyat Amerika telah mencecah tahap tertinggi meskipun terdapat ketegangan yang memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan rakan dagang lain, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu tinjauan pendapat baharu yang dikeluarkan pada Ahad.

64% rakyat Amerika, termasuk majoriti Demokrat dan Republikan, menyokong perdagangan bebas dengan negara asing kerana ia membuka pasaran baharu dan negara tidak boleh mengelak hakikat satu ekonomi yang global, dedah tinjauan pendapat NBC/Wall Street Journal.

Ini menunjukkan peningkatan mata sebanyak 7% berbanding sebelum ini semasa soalan itu dikemukakan pada 2017 dan meningkat sebanyak 13% berbanding 2015, sekali gus mencapai tahap tertinggi sepanjang masa.

Hanya 27% rakyat Amerika percaya perdagangan bebas adalah buruk, menyaksikan penurunan sebanyak 10% mata berbanding 2017.

Tinjauan pendapat itu membabitkan 1,000 orang dewasa antara 10 dan 14 Ogos dengan margin kesilapan 3.1 mata peratusan.

Ia dibuat selepas pentadbiran Trump menaikkan tarif ke atas pelbagai barangan import di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin memuncak dengan rakan dagang lain.

Kumpulan perniagaan AS turut menggesa pentadbiran Trump menghapuskan semua tarif tambahan bagi mengelak kos yang lebih tinggi kepada keluarga dan perniagaan Amerika. – Bernama, 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen