PERBICARAAN SRC International diteruskan selepas peguam di mahkamah berbeza pagi tadi membuat permohonan berasingan untuk menangguhkan perbiaraan 1MDB yang dijadualkan bermula hari ini sehingga 14 November.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan 1MDB, bertegas supaya kes itu mula didengar pada Isnin depan.
Bagaimanapun, beliau tetap akan mendengar hujah tambahan ketika pengurusan kes pada Khamis ini daripada peguam yang mahukan perbicaraan 1MDB bermula pada 3 September.
Dalam kes 1MDB, bekas perdana menteri Najib Razak berdepan 25 pertuduhan jenayah melibatkan penyelewengan RM2.28 bilion dana awam.
Petang ini, saksi ke-57 dan terakhir pendakwaan, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussain akan kembali memberi keterangan.
Rosli dijangka akan meneliti dokumen dirampas Bank Negara ketika serbuan ke atas AmBank Cawangan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 5 Julai 2015. Bank mempunyai butiran akaun peribadi Najib dan akaun syarikat SRC International termasuklah keterangan saksi.
Minggu lepas, Rosli memberi keterangan yang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil berjanji kembali ke Malaysia dan membantu siasatan dengan memberi keterangan di luar negara.
Low disoal siasat di Abu Dhabi pada 27 November 2015, manakala Nik Faisal disoal siasat sebanyak dua kali di Jakarta pada Oktober 2015. Kedua-duanya sehingga sekarang tidak lagi dapat dikesan.
Low meninggalkan Malaysia pada 29 Mei 2015, manakala Nik Faisal keluar dari negara pada 7 Mei 2018, dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Ditanya mengapa SPRM tidak menahan kedua-dua mereka, Rosli memberitahu mahkamah: “Kerana kedua-duanya (Low dan Nik Faisal) sudah memberi keterangan dan kerana mereka memberikan komitmen, kami yakin mereka akan kembali ke Malaysia untuk bekerjasama dalam perbicaraan.”
Jabatan Imigresen meletakkan Low dan Nik Faisal dalam senarai sekatan perjalanan pada 14 Mei tahun lepas dan waran tangkap dikeluarkan pada 22 Mei.
Rosli juga memberitahu mahkamah yang Notis Merah Interpol dikeluarkan di Hong Kong, Macau, Thailand, Indonesia, Myanmar dan China.
Pertuduhan Najib dalam kes SRC International berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion diberikan kepada syarikat itu pada 2011 dan 2012, beliau dituduh menerima suapan RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Pemimpin berusia 66 tahun itu berdepan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.
Pasukan peguam Najib diketuai Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Negara Tommy Thomas menerajui pendakwaan.
The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:
5.41pm: Mahkamah ditangguhkan kepada jam 9 pagi esok.
5.15pm: Shafee memberitahu Hakim Nazlan yang keterangan saksi itu sama seperti khabar angin.
Sithambaram berkata pasukannya akan menghantar hujah mengenainya nanti.
5.14pm: Rosli memberitahu mahkamah yang SPRM mengambil keterangan Najib sebanyak tiga kali antara 2015 dan 2018.
Katanya, Najib ditunjukkan dokumen mengandungi tandatangannya. Najib ketika itu berkata itu tandatangan aslinya dan bukan palsu.
3.25pm: Pendakwa raya masih mengesahkan dokumen dan penyata akaun Najib.
2.50pm: Mahkamah bersidang dengan Pegawai Penyiasat Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Rosli Hussain kembali memberi keterangan.
Pendakwa raya sedang meneliti penyata akaun AmBank milik Najib Razak bagi pengesahan Rosli. – 19 Ogos, 2019.
Komen