MAYAT pendaki warga Perancis yang hilang sembilan hari lalu di selatan Naples telah dijumpai semalam, kata pihak berkuasa Itali.
Mayat Simon Gautier, 27, ditemui Belvedere di Ciolandre selepas dilaporkan terjatuh dari tebing pada 9 Ogos lalu.
Pihak berkuasa di Sapri berkata, mayat mangsa telah pun berjaya ditemui.
Ketika kejadian mangsa dikatakan sempat menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan dan memaklumkan kakinya patah selepas terjatuh namun tidak dapat menyatakan lokasi sebenarnya.
Keluarganya meluahkan rasa kesal kerana pihak penyelamat mengambil masa terlalu lama untuk melakukan operasi pencarian.
Menurut media Itali, mangsa ditemui di dalam gaung selepas anggota penyelamat ternampak beg mangsa ketika mencarinya menggunakan binokular.
Anggota bomba dan penyelamat menggunakan helikopter dan dron pada hari Ahad bagi menjalankan operasi mencari di kawasan pergunungan dan tebing bersempadanan laut.
Mangsa telah menetap di Rom selama dua tahun kerana menjalankan tesis mengenai sejarah seni. Dia bergerak sendirian dari Policastro Bussentino ke Naples dan telah menghantar gambarnya kepada keluarga. – AFP, 19 Ogos, 2019.
Komen