Pemimpin PBB kutuk serangan bom di Kabul


Insiden serangan bom dalam satu majlis perkahwinan di Kabul meragut 63 nyawa dan mencederakan lebih 180 orang. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2019.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengutuk serangan bom yang menyasarkan orang awam di ibu kota Kabul, Afghanistan pada Sabtu malam, lapor agensi berita China Xinhua.

“Setiausaha Agung mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang mengerikan pada 17 Ogos dalam satu majlis perkahwinan di Kabul, yang meragut 63 nyawa serta mencederakan lebih 180 orang agi,” kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Pemimpin PBB itu melahirkan “setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan serta rakyat Afghanistan.”

Beliau juga berdoa agar mangsa yang cedera cepat sembuh.

Letupan itu berlaku dalam dewan Shahr-e-Dubai di Daerah Polis 6 Kabul pada Sabtu ketika ia penuh sesak dengan tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan pasangan rakyat Afghanistan.

Kumpulan militan Daesh telah mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan maut itu, lapor media Afghanistan.

Kabul, yang mempunyai penduduk berjumlah hampir lima juta orang, telah digegar oleh beberapa siri serangan pengganas sejak beberapa tahun lepas.  – Bernama, 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen