Pulau Gran Canaria terbakar, 5,000 terpaksa dipindahkan


Gran Canaria adalah pulau kedua terbesar di Kepulauan Canary di Atlantik di pantai barat laut Afrika. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2019.

KIRA-KIRA 5,000 orang terpaksa dipindahkan selepas pulau Gran Canaria dilanda kebakaran besar dan pihak berkuasa memberi amaran ia mungkin akan mengambil masa beberapa hari untuk dikawal.

Presiden Pulau Canary Angel Victor Torres berkata kebakaran yang merebak ke lokasi pelancongan terkenal di pergunungan Cruz de Tejeda telah semakin memburuk.

Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.

Lebih 600 anggota bomba terpaksa dikerahkan bersama 14 pesawat untuk mengawal kebakaran yang marak akibat angina kuat dan suhu panas.

“Tempoh beberapa jam selepas ini amat penting kerana ramalan cuaca pada waktu malam tidak begitu baik,” kata Torres.

Kebakaran berlaku beberapa hari selepas berlaku kebakaran di rantau sama memaksa pemindahan ratusan orang.

Gran Canaria adalah pulau kedua terbesar di Kepulauan Canary di Atlantik di pantai barat laut Afrika.

Kepulauan Canary menerima 13.7 juta pelawat asing tahun lalu yang mana separuh daripada mereka dari Britain dan Jerman.  – AFP, 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen