Kadar kitar semula tinggi tapi sisa plastik tetap dibuang


Zaim Ibrahim

SEBERANG Perai dapat berbangga kerana mencapai kadar kitar semula sampah paling tinggi di Malaysia, namun di sebalik angka itu tersembunyi realiti membimbangkan.

Kadar kitar semula sampah itu mencapai 45%, setara dengan pencapaian di negara maju tetapi hanya 4% daripada bahan yang dikitar semula itu terdiri daripada plastik.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Rozali Mohamud mengakui ia berpunca daripada kelemahan kempen untuk mengubah sikap pengguna.

“Saya masih belum puas hati. Walaupun kempen (kesedaran untuk kitar semula) agresif tapi plastik masih dijumpai di tapak pelupusan.

“Plastik patutnya sudah tidak ada lagi di tapak pelupusan. Plastik itu mewakili 4% daripada 47.15% sisa-sisa sampah yang dikitar semula,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Rozali berkata, pelbagai kempen kitar yang diusahakan MPSP seolah-olah kurang efektif kerana gaya hidup masyarakat yang sentiasa menggunakan plastik.

Jelasnya, satu kajian dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2018 mendapati, 15.4% daripada plastik yang digunakan berakhir di tapak pelupusan sampah.

Dibakar, air kotor masuk sungai

Lebih buruk lagi, banyak plastik itu tidak dapat dikitar semula kerana kotor disebabkan sisa makanan dan mengundang masalah lain di peringkat pemprosesan.

“Apabila (kilang pengitar semula) cuci bahan plastik, kadang-kadang air dibuang ke dalam sungai.

“Baki plastik yang tak boleh digunakan semula, mereka bakar sahaja yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan penduduk,” katanya lagi.

Di Seberang Perai, terdapat 511 lesen dikeluarkan kepada kilang proses plastik manakala 44 lesen dikeluarkan kepada syarikat proses plastik yang beroperasi secara kecil-kecilan.

Jelasnya, syarikat pengitar semula yang beroperasi secara kecil inilah yang sering mengundang masalah kerana mereka kadang kala mereka melanggar peraturan.

MPSP juga kini sudah mengesan 14 kilang proses plastik yang beroperasi secara haram dan pihaknya sedang mengambil langkah mengikut undang-undang terhadap kilang tersebut.

Jelasnya, pencemaran tersebut berlaku kerana sisa plastik itu tidak diasingkan – seperti yang melibatkan kilang haram di Klang, Selangor yang memproses sisa plastik import.

“Plastik-plastik import itu, bukan tidak baik tetapi perlu plastik yang bersih. Masalahnya, plastik itu tidak diasingkan. Lampin bayi ada, macam-macam ada.

“Syarikat-syarikat kitar semula ambil kontena dan pilih bahan-bahan yang boleh dikitar semula sahaja. Yang tidak boleh, mereka buang secara haram,” tambah beliau lagi.

Syarikat pengitar semula yang beroperasi secara kecil  sering mengundang masalah kerana kerap melanggar peraturan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2019.

Ubah sikap pengguna

Katanya, satu cara untuk menyelesaikan masalah itu adalah mengubah sikap pengguna agar tidak menggunakan plastik untuk mengisi sisa makanan.

“Sisa makanan boleh dikompos, saya syorkan jangan dibuang (sisa makanan),” tambah beliau yang menerajui MPSP sejak 2017.

Jelasnya, walaupun masyarakat di Seberang Perai menunjukkan reaksi positif terhadap kempen kitar semula, mereka tidak mengamalkannya disebabkan budaya dan cara hidup.

“Apabila buat jamuan atau majlis, bahan-bahan plastik digunakan kerana tidak susah seperti menggunakan pinggan yang perlu dibasuh.

“Untuk buang sampah di rumah, mungkin dia mahu bungkus dalam kertas tetapi kertas tidak ada, jadi bungkus dalam plastik sahaja,” ujar beliau

Antara kempen kesedaran yang dijalankan MPSP setakat ini termasuk kempen kesedaran seperti Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna dan Sekolah Hijau.

Larangan Penggunaan Plastik Sekali Guna yang bermula Januari lalu mendidik masyarakat supaya tidak menggunakan bahan plastik kegunaan tunggal seperti penyedut minuman, pinggan, dan beg plastik.

April lalu, MPSP juga menetapkan semua premis makanan termasuk kantin sekolah tidak boleh memberikan penyedut minuman plastik kepada penggunannya. – 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen