PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam mengesahkan minatnya untuk membeli Greenland tetapi mengatakan ia bukan keutamaan bagi pentadbirannya.
“Ia adalah sesuatu yang kami bincangkan,” kata Trump kepada pemberita.
“Konsep itu muncul dan saya katakan dengan pasti bahawa secara strategik ia menarik dan berminat, tetapi kami akan berbincang dahulu dengan (Denmark),” katanya sambil menegaskan ia bukan keutamaan bagi kerajaan.
The Wall Street Journal melaporkan pada Khamis yang Trump menyatakan minatnya terhadap wilayah autonomi Denmark - yang kebanyakannya diliputi oleh ais - merujuk kepada para penasihat akan kemungkinan AS mendapatkan wilayah itu.
Trump yang merupakan bekas usahawan hartanah tertarik dengan sumber semula jadi kawasan dan geopolitik, kata akhbar itu.
Ketika ditanya apakah beliau akan mempertimbangkan menukar wilayah AS dengan Greenland, Trump menjawab “banyak perkara boleh dilakukan”.
“Pada dasarnya, ia merupakan perjanjian hartanah yang besar,” katanya.
“Ia menjejaskan Denmark dengan sangat teruk kerana mereka kehilangan hampir AS$700 juta (RM2.95 bilion) setahun… dan bagi AS secara strategiknya, ia kelihatan bagus,” katanya.
Denmark menjajah dua juta km persegi pulau itu pada abad ke-18. Ia adalah kediaman kepada hanya kira-kira 57,000 orang yang kebanyakannya komuniti Inuit atau Eskimo.
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Greenland menegaskan pada Jumaat yang ia bersedia untuk berbincang mengenai perniagaan, tetapi bukan untuk dijual.
“Kami terbuka untuk perniagaan, bukan untuk dijual.” – AFP, 19 Ogos, 2019.
Komen