PERBICARAAN kes 1Malaysia Development Bhd melibatkan Najib Razak akan bermula hari ini, tetapi peguam kedua-dua pihak dijangka akan mengemukakan permohonan bagi menangguhkan kes itu.
Permohonan itu bagi memberi laluan kepada pihak pendakwaan menggulung kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang juga melibatkan bekas perdana menteri itu.
Kedua-dua pihak peguam bela dan pendakwaan sebelum ini sudah cuba mengelakkan pertembungan perbicaraan kes SRC International dan 1MDB, tetapi gagal.
Perbicaraan kes SRC International semakin hampir ke penghujung apabila pihak pendakwaan hanya tinggal untuk memanggil saksi akhir untuk memberi keterangan.
Perbicaraan 1MDB yang menyaksikan Najib berdepan 52 tuduhan jenayah, akan bermula secara rasmi dari 19 Ogos sehingga 14 November di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dihakimi oleh Collin Lawrence Sequerah.
Pagi ini, peguam kedua-dua pihak akan memohon Sequerah untuk meminda beberapa tarikh pendengaran kes 1MDB bagi membolehkan saksi akhir kes SRC International, Rosli Husain dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan penuh.
Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas berkemungkinan akan meminta perbicaraan bermula dalam tempoh dua minggu.
Tempoh itu juga dapat memberi masa kepada pihak defendan bersedia selepas menerima dokumen bukti pre-perbicaraan termasuk keterangan saksi pada minggu lalu.
Tarikh yang disebut sebelum ini oleh Tommy untuk memulakan perbicaraan kes itu adalah pada 28 Ogos.
Jika Sequerah membenarkannya, perbicaraan SRC International dijangka bersambung lagi hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Najib kini berdepan tujuh pertuduhan jenayah dalam perbicaraan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menerima wang RM42 juta menerusi akaun peribadinya antara Disember 2014 dan Februari 2015.
Bagi kes 1MDB, beliau berdepan 52 pertuduhan termasuk pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Peguam kedua-dua pihak sebelum ini cuba menangguhkan perbicaraan 1MDB bagi membolehkan perbicaraan SRC International selesai.
Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan pada minggu lalu memutuskan bahawa perbicaraan 1MDB perlu diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan. – 19 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen