PEMIMPIN PAS dan dan Umno mempertahankan Zakir Naik sebagai ilmuan Islam yang tidak memberi ancaman kepada agama lain dan harus diberi perlindungan di dalam negara.
Seorang daripadanya, wakil rakyat PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh yang meminta semua pihak melihat syarahan penceramah warga India itu dari sudut positif.
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu juga berpendapat, Zakir menerima tekanan kerana hujahnya tidak dapat dijawab secara profesional dan ilmiah oleh pihak yang mengkritik.
“Zakir Naik dia mengemukakan dakwah Islamiyah untuk menyelamatkan manusia, mewujudkan masyarakat yang harmoni. Janganlah masyarakat bukan Islam melihat perkara ini sesuatu yang negatif.
“Bila tidak boleh menjawab hujah, sebab itu keluar alasan ceramah Zakir Naik tidak sesuai di Malaysia kerana kita masyarakat majmuk,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mempertahankan penceramah itu walau ucapan Zakir di Kelantan anjuran PAS pada minggu lalu didakwa menghina masyarakat Hindu dan juga keturunan Cina.
Mengulas lanjut, Nik Zawawi mempertahankan bahawa tindak-tanduk Zakir masih berlandaskan ajaran Islam yang tidak membenarkan memaksa penganut lain beriman kepada agama itu.
“Hukumnya haram. Kita hanya mengemukakan hujah. Walaupun ada yang berasa Islam itu agama yang benar, tetapi tetap tidak mahu ikuti, tiada masalah.
“Keduanya, kita perlu menghormati Perlembagaan yang menyebut Islam agama rasmi dan boleh disebarkan manakala agama yang lain boleh dianuti, diamalkan secara aman dan damai.
“Tetapi mereka tidak boleh menyebarkan ajaran masing-masing,” tegasnya.

Kenyataan Zakir dalam ucapan itu menerima kecaman pelbagai pihak termasuk beberapa menteri bukan Islam yang mendesak agar status penduduk tetap penceramah itu ditarik balik.
Menteri berkenaan juga menuntut agar Zakir dihantar pulang ke India untuk menghadapi tuduhan berkaitan kesalahan keganasan.
Zakir juga kini disiasat atas ucapannya yang menyebut penganut Hindu dan keturunan Cina dan dijangka akan dirakam kenyataan sekali lagi di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.
Pada masa sama, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga tidak lagi mengalu-alukan Zakir untuk mengadakan sebarang program di negeri tersebut.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun minggu lalu menegaskan Zakir akan kekal di Malaysia kerana bimbang akan dibunuh jika dihantar pulang ke India.
Pandangan sama disuarakan ahli Parlimen Umno, Shahidan Kassim yang berpendapat Zakir tidak memberi sebarang ancaman selain kepada golongan disifatkannya sebagai penentang Islam.
“Zakir Naik ini ilmuan Islam. Bila ada orang minta perlindungan dengan kita, apakah wajar kita serah ke tempat yang mungkin beliau akan dizalimi,” soal ahli Parlimen Arau itu.
Beliau berkata perlindungan ke atas Zakir itu sama seperti yang diberikan penduduk Madinah sewaktu peristiwa hijrah.
“Masa Rasulullah pindah ke Madinah, beliau diterima dan orang Madinah tidak hantar baginda balik ke Mekah untuk diseksa,” katanya.
Sementara itu, penganalisis melihat Umno dan PAS menyokong Zakir untuk menggunakan penceramah itu sebagai simbol kempen penyatuan ummah yang diusahakan parti berkenaan.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff berkata ia selari dengan piagam yang akan dimeterai kedua-dua parti Melayu Islam itu pada 14 September ini.
“(Ucapan) Zakir Naik ini temanya konsisten sama ada sebelum atau selepas PRU iaitu penyatuan ummah.
“(Zakir) simbol yang berperanan dan berpotensi untuk gabungkan orang Melayu Islam dalam satu barisan. Ia berkait juga dengan kerjasama parti-parti politik berasaskan Melayu Islam,” katanya.

Beliau juga menyifatkan syarahan Zakir tidak mempunyai sebarang masalah kerana tiada sebarang tindakan undang-undang seperti menghasut dikenakan terhadap pendakwah itu.
“Tetapi yang berlaku pada hari ini mereka menggunakan kuasa politik, mendesak supaya Zakir Naik ini dihalau keluar terus.
“Dakwalah. Ini lebih berhemah dan tidak perlu jadi polemik yang berlebihan,” katanya.
Seorang penganalisis Universiti Kebangsaan Malaysia bagaimanapun melihat Umno-PAS dan Zakir Naik saling mempergunakan antara satu sama lain bagi mencapai agenda masing-masing.
Penganalisis Shamsul Amri Baharuddin berpendapat ia protes terhadap Zakir Naik di negara ini tidak akan timbul sekiranya beliau fokus dengan usaha dakwah.
Katanya, PAS dan Umno mempergunakan Zakir untuk mengemukakan tentangan ke atas isu yang dibangkitkan lawan parti itu, DAP.
Jelasnya tentangan ke atas DAP itu serupa dalam isu seperti pembelajaran khat jawi di sekolah,
“Zakir Naik ada peranan politiknya terutamanya dalam sandiwara Umno-PAS lawan DAP kerana apa yang DAP bangkang pihak Umno-PAS mempertahankannya, sama ada soal khat atau Zakir Naik.
“Umno dan PAS guna Zakir Naik, Zakir Naik guna Umno-PAS. Ini politik biliard. Tuju satu bola, sentuh dua lagi. Bagitulah,” katanya.
Pengarah serta Institut Kajian Etnik itu berkata, Zakir sepatutnya tidak melayan kritikan supaya tidak dilihat sebagai agen pemecah belah di kalangan rakyat Malaysia.
“Zakir Naik pun oportunis. Dia macam menyebelahi Umno-PAS. Kalau dia fokus hal dakwah sahaja dan tidak sentuh hal Cina dan Hindu, mesti tiada protes seperti sekarang,” katanya. – 19 Ogos, 2019.
Komen