4,000 ditahan sejak India lucut hak autonomi Kashmir


Seorang anggota polis yang enggan dikenali berkata kira-kira 6,000 penduduk Kashmir menjalani pemeriksaan kesihatan di beberapa tempat di Srinagar selepas mereka ditahan. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2019.

BERIBU-RIBU penduduk ditahan di wilayah Kashmir yang dikuasai India sejak New Delhi melucutkan hak semi autonomi kawasan bergolak itu kira-kira dua minggu lalu, kata sumber kerajaan.

Seorang majistret yang enggan dikenali berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan keganasan yang lebih teruk susulan keputusan kontroversi kerajaan India.

Katanya sekurang-kurangnya 4,000 orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Awam (PSA) iaitu undang-undang kontroversi yang membenarkan pihak berkuasa memenjarakan sesiapa saja selama dua tahun tanpa dakwaan atau perbicaraan.

“Kebanyakan mereka dibawa keluar dari Kashmi kerana penjara di wilayah itu tidak mampu lagi menampung tahanan baharu,” kata sumber itu.

Pihak berkuasa India berulang kali enggan menyiarkan maklumat tentang jumlah tahanan tetapi hanya mengesahkan lebih 100 orang ditahan termasuk ahli politik, aktivis dan pakar akademik.

Kesemua mereka ditahan pada hari pertama hak autonomi Kashmir dilucutkan.

Pihak berkuasa mendakwa mereka menahan individu yang cuba menggugat keamanan di wilayah itu.

Jurucakap kerajaan Jammu dan Kashmir Rohit Kansal berkata tiada data berpusat yang menunjukkan jumlah sebenar tahanan.

Namun beberapa sumber kerajaan termasuk polis dan anggota keselamatan di bandar utama Kashmir, Srinagar mengesahkan penahanan secara beramai-ramai dilakukan.

Seorang anggota polis yang enggan dikenali berkata kira-kira 6,000 penduduk Kashmir menjalani pemeriksaan kesihatan di beberapa tempat di Srinagar selepas mereka ditahan.

Katanya kebanyakan mereka dihantar ke luar Srinagar menaiki pesawat tentera untuk ditahan di tempat lain.

Awal hari ini, lapan penunjuk perasaan cedera selepas bertempur dengan pihak berkuasa bagi membantah keputusan kerajaan India itu. – AFP,  18 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen