Umno akan teliti kekuatan untuk bertanding PRK Kimanis, kata presiden


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan menjalankan beberapa analisis terlebih dahulu bagi melihat kekuatan Umno di Parlimen Kimanis, selepas Anifah bertindak keluar parti pada September tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Ogos, 2019.

UMNO tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis walaupun terpaksa berdepan dengan bekas ahli Parlimen kawasan tersebut, Anifah Aman.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan menjalankan beberapa analisis terlebih dahulu bagi melihat kekuatan Umno di Parlimen Kimanis, selepas Anifah bertindak keluar parti pada September tahun lalu.

“Kita akan meneliti sejauh mana kekuatan Umno di Kimanis itu kerana pemangku Ketua Bahagian Mohamad Alamin merupakan tokoh tempatan yang selama ini telah membantu Anifah untuk menyusun jentera Umno dan Barisan Nasional dan memenangkan Anifah. 

“Umno dan Barisan Nasional akan membuat keputusan sama ada mahu meletakkan calon atau tidak di PRK Kimanis selepas data-data yang diperolehi dilakukan analisis. 

“Kita akan umumkan bila sampai waktunya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Petaling Jaya di TH Hotel Kelana Jaya, hari ini.

Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Lee Heng Cheong mengisytiharkan kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 batal dan tidak sah.

Keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti undi mendapati ada unsur manipulasi, termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Anifah yang juga bekas menteri luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi, memperolehi 11,942 undi berbanding Karim sebanyak 11,786 undi.

Anifah yang merupakan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno kemudiannya bertindak keluar parti kerana mahu rakyat Sabah mendapat layanan sama rata dan setiap hak mereka dilaksanakan sepenuhnya, tanpa sebarang dalih dan alasan.

Tiga bulan selepas itu, 21 ketua bahagian, 4 ahli Parlimen selain 11 orang Adun Umno yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor ketika itu turut bertindak keluar daripada parti itu. – 18 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen