UMNO mengesahkan semua ahli Parlimen yang bertindak keluar daripada parti itu telahpun dikenakan tindakan undang-undang.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata saman itu dikemukakan oleh Biro Politik dan Majlis Tertinggi Umno demi kepentingan parti dan bukannya keputusan individu.
“Tindakan perundangan ini dilakukan terhadap semua ahli-ahli Parlimen yang dahulunya menang atas tiket Barisan Nasional dan mewakili Umno.
“Malah ketika (Timbalan Presiden Umno) Mohamad Hasan menjalankan tugas-tugas presiden, tindakan itu juga telah diteruskan. Itu bukan keputusan individu tetapi keputusan parti,” katanya.
Beliau mengesahkan laporan The Malaysian Insight bahawa Umno menyaman tiga ahlinya yang keluar parti untuk menyertai Bersatu.
Saman itu antara lain dikemukakan atas tuduhan pecah amanah, melanggar kontrak, pengkayaan secara tidak wajar dan juga atas kepentingan parti.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight writ saman difailkan semalam terhadap Mustapa Mohamed, Hamzah Zainudin dan Ikmal Hisham Abdul Aziz yang juga ahli Parlimen.

“Tiga saman itu yang dikeluarkan oleh Apandi Ali & Co. Tetapi ahli-ahli Parlimen lain yang telah meninggalkan Umno disaman oleh firma guaman yang berlainan,” jelas Zahid.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Petaling Jaya petang ini.
Dokumen dilihat The Malaysian Insight menunjukkan writ untuk Hamzah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara Mustapa dan Ikmal Hisham difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Baru.
Hamzah dan Ikmal merupakan antara enam ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu awal tahun ini untuk menyertai Bersatu.
Empat lagi adalah Abdul Latif Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Mustapa bersama Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) turut lompat parti pada 2018. – 18 Ogos, 2019.
Komen