SYARIKAT nadir bumi Australia Lynas tidak membahayakan negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Negarawan berusia 93 tahun itu berkata, kerajaan tidak boleh asyik mendengar pandangan popular sahaja, menambah yang Kabinetnya sudah mendapatkan pandangan pakar bidang melibatkan operasi Lynas.
“Kami hantar pakar untuk memeriksa tempat itu dan mereka kata tidak ada bahaya. Tetapi, kita asyik kata ada (bahaya). Susah kerajaan nak buat keputusan.
“Pandangan popular orang satu hal, pandangan pakar hal lain. Bagaimana awak hendak buat keputusan? Jika awak hanya ambil pandangan popular, tak boleh buat apa-apa.
“Awak tak boleh asyik dengar pandangan popular dan saya mahu terima apa yang dilaporkan pakar. Tidak akan ada bahaya.
“Kita ada pilihan hendak dibuat, sama ada hapuskan industri itu dan hilang wibawa dalam aspek berurusan dengan pelaburan terus asing, atau kita teruskan dan jaga apa yang dianggap akan jadi masalah,” katanya selepas majlis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Awal hari ini, hampir 400 orang menghadiri bantahan di Kuantan untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Pakatan Harapan kerana melanggar janji manifestonya berkaitan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Kilang memproses nadir bumi itu ditentang sejak dibuka pada 2012, dan ahli politik yang kini jadi kerajaan berikrar menutupnya kerana didakwa berbahaya kepada penduduk setempat dan alam sekitar.
“Jangan u-turn, jangan u-turn! Jangan langgar janji manifesto,” kata pemimpin bantahan sambil membawa sepanduk bergambar pemimpin PH termasuklah gambar Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang.
Dilaporkan kilang Lynas menyimpan 550,000 sisa air radioaktif tahap rendah “leach purification” (WLP) dan 1.2 juta sisa “naturalisation underflow residue” (NUF).
Sehingga sekarang, tidak ada bukti kukuh sisa Lynas menyebabkan pencemaran, malah laporan Jawatankuasa Semakan ditubuhkan kerajaan tahun lepas mendedahkan risiko operasinya adalah kecil.
Khamis lalu, Putrajaya mengumumkan lesen operasi Lynas dilanjutkan selama enam bulan dengan bersyarat.
Bagi meneruskan operasinya di Malaysia, Lynas perlu memindahkan operasi “cracking and leaching” ke luar negara, mengenal pasti tapak sesuai untuk PDF dan membina fasiliti diperlukan serta memindahkan sisa rendah radioaktifnya ke luar negara. – 18 Ogos, 2019.
Komen