Zakir Naik tidak digalakkan ceramah di Pulau Pinang


Zaim Ibrahim

Dr Zakir Naik tidak digalakkan beri ceramah di Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2019.

PENCERAMAH kontroversi Dr Zakir Naik tidak digalakkan untuk menyampaikan ceramahnya di Pulau Pinang, kata Exco Hal Ehwal Agama Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Jelas beliau, walaupun kerajaan negeri tidak pernah berbincang mengenai Zakir, tetapi Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) berpendapat kaedah beliau tidak sesuai di negeri itu.

“Kerajaan negeri belum ada apa-apa pendirian (terhadap Zakir) sebab belum ada permintaan, cadangan mana-mana pihak nak adakan ceramah Zakir di sini.

“Cuma Dr Zakir Naik sendiri pernah datang jumpa saya pada awal tahun, lebih awal daripada kontroversi yang sedang berlaku. Beliau berminat untuk menyampaikan ceramah di sini.

“Tetapi Majlis Agama Islam tidak galakkan beliau memberi ceramah kerana berpendapat keadaan di Pulau Pinang tidak sesuai dengan ceramah yang biasa dilakukan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Nor berkata pihaknya belum meletakkan sebarang ketetapan ke atas Zakir Naik.

Namun secara peribadi, beliau turut berpendapat tokoh agama itu tidak sesuai menyampaikan ceramah di Pulau Pinang kerana dibimbangi menggugat keharmonian masyarakat Malaysia.

“Oleh kerana ceramah beliau sering menimbulkan kontroversi dan dijadikan bahan polemik oleh pihak tertentu maka dibimbangi ia berpotensi menggugat keharmonian masyarakat Malaysia yang berbeza etnik dan agama.

“Justeru adalah lebih baik dan bijaksana sekiranya beliau tidak dibawa untuk menyampaikan ceramah di negeri ini buat masa sekarang ini,” jelas beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Tambahnya, ramai pendakwah dan penceramah agama tempatan mempunyai kredibiliti yang baik untuk memberi didikan agama.

“Untuk dakwah kepada masyarakat Islam di sini tidaklah perlu dilibatkan penceramah atau pendakwah seperti beliau.

“Ramai ustaz dan ulama tempatan yang mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik,” katanya lagi kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, penceramah yang ingin berdakwah kepada golongan bukan Islam perlu mendapat tauliah terlebih dahulu daripada Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang, jelasnya.

Perlis dan Kedah sudahpun mengeluarkan larangan kepada penceramah itu untuk tidak lagi berucap di negeri itu.

Negeri Perak bagaimanapun di Perak pula tidak menyatakan sebarang larangan ke atas mana-mana penceramah bebas termasuk Zakir Naik untuk menjalankan aktiviti di negeri itu.

Penceramah tersebut kini disiasat polis Bukit Aman berhubung satu ucapannya di Kota Bharu yang didakwa menghina masyarakat Cina dan India.

Acara ceramah yang dijadualkan di Perlis hujung minggu ini juga dibatalkan atas nasihat mufti, Mohd Asri Zainul Abidin.

Kerajaan juga memberi amaran keras supaya Zakir tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menjejaskan hubungan kaum di Malaysia.

Warga India itu kini disiasat berhubung kesalahan mengganggu ketenteraman awam atas ucapannya di Kota Bharu yang didakwa menghina masyarakat Cina dan India. – 18 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen