SEKURANG-KURANGNYA 10,000 orang tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran besar melanda penempatan setinggan di ibu kota Bangladesh memusnahkan beribu rumah, kata pegawai hari ini.
Kebakaran berlaku di setinggan Mirpur, Dhaka pada malam Jumaat dan memusnahkan hampir 2,000 rumah, kata pegawai bomba Ershad Hossain kepada AFP.
“Saya tak boleh selamatkan apa pun. Saya tak tahu hendak buat apa,” kata Abdul Hamid, 58, yang mempunyai sebuah kedai the di kawasan setinggan itu sambil menangis kepada AFP.
Pihak berkuasa akhirnya berjaya mengawal kebakaran dan tiada sesiapa dilaporkan terbunuh, walaupun beberapa orang cedera ringan, kata anggota bomba.
Kebanyakan penduduk- sebahagian besarnya adalah pekerja kilang pakaian- tidak berada di kawasan itu kerana pulang bercuti menyambut Aidiladha bersama keluarga mereka.
“Kalau tidak, kemusnahan dijangka lebih besar,” kata ketua polis tempatan Golam Rabbani.
Hampir 10,000 orang ditempatkan sementara di sebuah sekolah berhampiran yang ditutup kerana cuti panjang, kata Hossain.
“Kami beri mereka makanan, air, tandas bergerak dan bekalan elektrik,” kata pegawai kerajaan tempatan Shafiul Azam kepada AFP, menambah yang pihak berkuasa akan berusaha mencari penempatan baharu untuk mangsa.
Sebahagian keluarga sudah membangunkan khemah untuk berlindung daripada hujan, tetapi musim tengkujuh yang sedang berlaku mengubah kawasan itu kepada padang berlumpur.
Pakar berkata kebakaran biasa berlaku di Dhaka kerana tiadanya langkah pencegahan kebakaran berkesan.
Sekurang-kurangnya 100 orang maut dalam kebakaran bangunan di seluruh bandar itu sepanjang tahun ini.
Pada 2012, kebakaran yang berlaku di sebuah kilang pakaian sembilan tingkat di Dhaka, membunuh 111 orang pekerja. Siasatan mendapati ia disebabkan sabotaj dan pengurus kilang itu menghalang pekerja menyelamatkan diri.
Pada 2010, kebakaran berlaku di Nimtoli, salah satu kawasan paling padat penduduk di Dhaka, membunuh 123 orang. – AFP, 18 Ogos, 2019.
Komen