SEORANG gelandangan didakwa kerana meletakkan bom palsu yang menyebabkan berlaku gangguan komuter di New York, kata polis hari ini.
Larry K. Griffin II, 26, ditahan oleh Jabatan Polis New York didakwa dengan tiga pertuduhan meletakkan bom palsu yang merupakan tiga periuk nasi kosong.
Sebahagian bandar itu cemas selama dua jam pada pagi Jumaat apabila tiga objek mencurigakan ditemui di mana dua berhampiran Pusat Dagangan Dunia di stesen subway bawah tanah Fulton Street dan satu lagi di daerah Chelsea di utara.
Stesen dikosongkan segera, perkhidmatan di dua saluran kereta bawah tanah ditunda manakala perkhidmatan kereta api dilencongkan ke laluan lain.
Polis berkata, objek yang mencurigakan itu adalah periuk nasi kosong dengan model yang sama.
Difahamkan Griffin merupakan bekas penduduk Bruno di Amerika Syarikat dan mempunyai rekod jenayah lampau.
Griffin pernah ditangkap tiga kali dalam masa lapan tahun terakhir atas dakwaan memiliki senjata dan menggunakan bahan lucah untuk menggoda seorang kanak-kanak. – AFP, 18 Ogos, 2019.
Komen