RAKYAT kini ditekan kerana banyak jawatan penting seperti menteri kewangan diberi kepada DAP, dakwa bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau berkata demikian untuk mengulangi dakwaannya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terpaksa melantik ramai pemimpin DAP ke jawatan utama.
Sebab utama adalah kerana parti itu bertanggungjawab menubuhkan Bersatu, dakwa ahli Parlimen Pekan itu dalam ucapan di mesyuarat Umno bahagian tersebut hari ini.
“Sebab itu perdana menteri kena bagi jawatan menteri kewangan, saya tak sebut menteri kewangan tapi kewayangan kepada Lim Guan Eng.
“Kerajaan terpaksa bagi banyak jawatan penting kepada DAP yang menyebabkan tekanan pada kita semua hari ini,” dakwanya yang menambah ia turut melibatkan pelantikan peguam negara.
Dakwaan berkenaan sudahpun dinafikan Dr Mahathir pada Julai lalu selepas Najib mula membangkitkan dakwaan tersebut.
Menurut Dr Mahathir, orang yang mengeluarkan dakwaan itu perlu mendapat rawatan psikiatri kerana ia adalah kenyataan tidak waras.
Najib terdahulu mendakwa penubuhan parti Bersatu dibuat atas cadangan penasihat DAP Lim Kit Siang.
Dakwaan itu disokong bekas exco Perak dari Umno, Hamidah Osman yang mendakwa ia berlaku dalam satu mesyuarat Pakatan Harapan pada Mac 2016.
Hamidah yang beralih menjadi penyokong Dr Mahathir pada waktu itu mendakwa Lim dalam mesyuarat itu menggesa agar sebuah parti Melayu ditubuhkan untuk meraih 10% undi Umno.
Dakwaan itu timbul selepas saranan Dr Mahathir agar pemimpin Melayu menyertai Bersatu untuk menguatkan pengaruh politik kaum itu yang menurutnya kini berpecah kepada enam kumpulan. – 18 Ogos, 2019.
Komen