RATUSAN penunjuk perasaan anti-Lynas berhimpun di Kuantan hari ini, bagi menunjukkan satu lagi bantahan terhadap Pakatan Harapan berhubung kegagalan mereka tunai janji manifesto.
Loji pemprosesan nadir bumi itu mendapat bantahan sejak ia mula dibuka pada 2012, dan ahli politik yang pada ketika itu adalah pembangkang dan kini dalam kerajaan berikrar untuk menutupnya.
“Jangan u-turn, jangan u-turn! Jangan mungkiri janji manifesto,” kata sekumpulan 30 penunjuk perasaan di pentas ketika berarak membawa sepanduk wajah pemimpin Pakatan dan sepanduk “No u-turn”.
Sepanduk itu memaparkan wajah Perdana Menteri yang juga pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim serta Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu diikuti penasihat DAP Lim Kit Siang.
Gimik protes itu dibuat dalam bentuk hiburan, mengenai isu tempoh lanjutan enam bulan yang diberikan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) meneruskan operasi melombong nadir bumi di Taman Perindustrian Gebeng.
Menurut salah seorang peserta yang berhimpun sejak pukul 7 pagi di Kuantan, Lynas gagal memenuhi janji untuk menghantar pulang ke negara asal mereka sisa daripada perlombongan nadir bumi.
Laporan menyebut, loji Lynas mempunyai 550,000 tan sisa buangan “water leach purification (WLP)” yang mempunyai tahap radioaktif rendah dan 1.2 juta tan sisa Naturalisation Underflow Residue (NUF) atau gipsum sintetik.
“Ini bukan sahaja masalah kepada orang Cina, Melayu dan Orang Asli sahaja,” kata Naib Presiden Jaringan Orang Asli SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon.
“Loji Lynas memberi kesan terhadap alam sekitar dan menyebabkan perubahan iklim. Penting untuk kerajaan memastikan perlombongan ini tidak menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar,” kata Yusri kepada kumpulan peserta protes di Taman Gelora, Kuantan pagi ini.
Pengerusi Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas (SMHL) Tan Bun Teet yang sinonim dengan pergerakan anti-Lynas memberitahu peserta, sudah tiba masanya untuk mereka mengingatkan wakil rakyat yang dipilih tentang janji mereka.

“Sebelum pilihan raya, kebanyakan mereka menandatangani petisyen untuk hentikan Lynas. Kini tiba masanya untuk ingatan mereka agar tidak lupakan kepentingan awam selepas mereka di Putrajaya atau mereka akan hilang sokongan pada pilihan raya umum akan datang,” kata bekas guru berusia 71 tahun itu.
Selain ucapan dan gimik prots, penganjur anti-Lynas SMHL turut membawa gambar ahli Parlimen dan Adun PKR, DAP dan Amanah yang sebelum ini menandatangani kempen untuk hentikan LAMP.
Pada 2013, aktivis Himpunan Hijau yang kini menyertai politik, Wong Tack berjaya mengumpul 1.2 juta tandatangan untuk menggesa LAMP ditutup. Ahli Parlimen Bentong berusia 60 tahun itu turut menganjurkan acara jalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuanta ke Kuala Lumpur sebagai membantah loji berkenaan.
Walaupun janji ke 39 Pakatan dalam manifestinya tidak menyebut ia akan menutup loji Lynas, pakatan itu bagaimanapun berjanji tidak akan membenarkan pembangunan yang memberi kesan buruk terhadap alam sekitar, kata Tan.
“Dengan membenarkan Lynas terus beroperasi di sini, ia akan jejaskan alam sekitar,” tambahnya.
Menurut SMHL, protes yang diadakan hari ini mendaat sokongan 80 hingga 90 badan bukan kerajaan.
Tiada bukti pencemaran
Seorang penduduk Kuantan, Anand Kumar berkata protes berkenaan hanya membuang masa.
“Mereka buat begini sejak kerajaan Barisan Nasional dan tiada bukti Lynas membahayakan negara,” katanya.
“Lynas merupakan perniagaan yang menguntungkan dan memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk. Kerajaan baharu perlu sedar keuntungan yang dibawa sebab itu ia dilanjutkan,” kata Anand yang bekerja di sektor swasta.
Walaupun tiada bukti bahan buangan Lynas menyebabkan pencemaran, syarikat perlombongan dari Australia itu dikecualikan cukai selama 12 tahun.
Menurut aktivis, Lynas hanya mengambil pekerja seramai 600 orang sedangkan syarikat itu mendakwa ia mengambil 4,000 pekerja.
Protes itu tamat pada pukul 9.15 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini. – 18 Ogos, 2019.
Komen