SEMUA pihak perlu bekerjasama dalam memerangi orang tengah sebagai usaha menentang kenaikan harga ikan, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor Irmohizam Ibrahim.
Irmohizam yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, salah satu inisiatif mengekang orang tengah menaikkan harga ikan ialah dengan menjual produk daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) secara terus kepada pengguna melalui koperasi.
“Perjuangan menentang orang tengah merupakan salah satu usaha kerajaan, bukan hanya LKIM. Saya berpendapat ia perlu dilakukan dengan kerjasama daripada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program “Jom Makan Ikan” iaitu satu kempen mengurangkan kos sara hidup di Saujana Utama, Kuala Selangor.
Program ini, kata Irmohizam, adalah contoh terbaik bagaimana koperasi boleh melibatkan diri mengurangkan kos sara hidup yang tinggi, melalui penjualan ikan beku segar yang dibekalkan Nekmat.
“Saya alu-alukan semua pihak, terutamanya koperasi-koperasi untuk bekerjasama dengan Nekmat menjual ikan beku segar. Sekurang-kurangnya kita boleh hapuskan orang tengah dan rakyat boleh dapat bekalan ikan secara langsung dari persatuan,” katanya.
Pada program ini ialah tiga tan ikan segar seperti jenahak, tenggiri, senangin, bawal hitam, kembung dan pari dijual pada harga diskaun.
Program yang menarik lebih daripada 100 pengunjung itu, sama seperti program anjuran Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos minggu lepas.
Jamal mendakwa DAP bersekongkol denga orang tengah menaikkan harga ikan dan berkata ia adalah satu helah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Harga ikan kembung yang dulu dikenali sebagai “ikan orang miskin”, kini harganya antara RM16 hingga RM20 sekilogram.
Sebelum GST dilaksanakan pada April 2015, ikan kembung yang dijadikan penanda aras bagi harga ikan lain, berharga RM8 sekilogram.
Kenaikan harga ikan kembung telah mendorong Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menimbangkan untuk meletakkannya ke dalam senarai barangan harga terkawal. – 8 Oktober, 2017.
Komen