Serangan pemberontak cetus kebakaran loji pemproses gas 


Loji pemprosesan gas Shaybah Arab Saudi terletak kira-kira 30 kilometer daripada sempadan UAE, dan ratusan kilometer dari wilayah yang dikuasai pemberontak Huthi.– Gambar EPA, 18 Ogos, 2019.

SERANGAN yang didakwa oleh pemberontak Yaman menyebabkan kebakaran di loji pemprosesan gas di Arab Saudi semalam, namun tiada kemalangan jiwa atau gangguan kepada pengeluaran bahan itu dilaporkan, kata syarikat Saudi Aramco. 

“Pasukan petugas Saudi Aramco berjaya mengawal kebakaran itu pagi ini yang berlaku di loji pemprosesan gas Shaybah namun tiada kecederaan atau gangguan operasi Saudi Aramco.”

Pemberontak Huthi melancarkan serangan peluru berpandu rentas sempadan dan serangan dron yang mensasarkan pangkalan udara Arab Saudi serta beberapa kemudahan lain sejak beberapa bulan lalu. 

Serangan itu dikatakan sebagai serangan balas terhadap serangan udara di Yaman yang diketuai oleh Arab Saudi.  

Awal pagi semalam, pemberontak Huthi mengeluarkan kenyataan mendakwa serangan “besar-besaran” ke atas pusat pemprosesan gas Arab Saudi menggunakan 10 buah dron. 

Jurucakap pemberontak berkenaan yang dipetik stesen TV Al-Masirah sebagai berkata, pihaknya berikrar untuk melancarkan seragan yang lebih besar terhadap Arab Saudi. 

Saluran televisyen itu kemudiannya menyiarkan ucapan ketua pemberontak Abdelmalek al-Huthi. yang mengatakan semua operasi ketenteraan kumpulan itu merupakan balasan terhadap tindakan ketenteraan Arab Saudi. 

Tambah Al-Huthi, serangan semalam juga merupakan amaran kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang merupakan antara tonggak utama dalam pakatan diketuai Arab Saudi. 

Pusat pemprosesan gas Shaybah terletak kira-kira 30 kilometer daripada sempadan UAE, dan ratusan kilometer dari wilayah yang dikuasai Huthi.  

Menteri Tenaga Ara Saudi Khalid al-Falih berkata, operasi dijalankan menggunakan dron jerangkap samar. 

“Perbuatan sabotaj pengganas ini susulan beberapa siri tindakan, termasuk serangan terhadap tangki minyak, yang mensasarkan untuk mengganggu bekalan minyak antarabangsa,” kata Falih. 

“Tindakan ini bukan sahaja mensasarkan kepada Aran Saudi tetapi turut menjejaskan ekonomi global.” – AFP, 18 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen