SEKURANG-kurangnya 20 orang cedera dalam insiden letupan bom di sebuah majlis perkahwinan, kata sumber dari hospital tempatan, manakala seorang saksi memberitahu AFP, beliau melihat banyak mayat di tempat kejadian.
Insiden letupan itu berlaku sebaik sahaja Amerika Syarikat dan Taliban dijangka akan menandatangani perjanjian yang akan menyaksikan tentera Amerika akan meninggalkan Afghanistan sebagai balasan untuk pelbagai jaminan keselamatan daripada pemberontak itu.
“Letupan di hotel ketika majlis perkahwinan, kira-kira 20 pesakit tiba di hospital kami,” menurut sebuah hospital di Kabul yang diuruskan oleh warga Itali, menerusi Twitter.
Sementara itu, jurucakap kementerian dalam negeri, Nasrat Rahimi berkata, letupan itu berlaku di dewan majlis perkahwinan di barat Kabul.
Beliau turut berkongsikan beberapa yang memaparkan mayat mangsa di ruang makan hotel berkenaan.
Majlis perkahwinan di Afghanistan merupakan suatu acara meriah, dengan ratusan malah adakalanya mencapai ribuan tetamu meraikan pengantin yang mana, kebiasaannya tetamu lelaki akan diasingkan daripada wanita dan kanak-kanak.
Mohammad Farhag, yang berada di majlis perkahwinan berkenaan berada di ruang wanita apabila terdengar bunyi letupan di kawasan lelaki.
“Semua orang bertempiaran lari, menjerit dan menangis,” katanya.
“Dewan berkenaan dipenuhi asap selama 20 minit. Hampir kesemua yang berada di ruang lelaki sama ada mati atau cedera. Kini sudah dua jam letupan berlaku, dan mereka masih mengeluarkan mayat mangsa dari dewan berkenaan.”
Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam insiden itu. – AFP, 18 Ogos, 2019.
Komen