MAJLIS tentera Sudan dan pemimpin penunjuk perasaan hari ini menandatangani ‘pengisytiharan berpelembagaan’ bagi memberi laluan peralihan kepada pemerintahan awam.
Perjanjian itu ditandatangani oleh timbalan ketua majlis tentera, Mohamed Hamda Daglo, dan Ahmed al-Rabie, wakil penunjuk perasaan dari kumpulan Gabungan Kebebasan dan Perubahan.
Ketua negara, perdana menteri dan wakil dari beberapa negara termasuk Ethiopia dan Mesir menghadiri majlis yang berlangsung di Khartoum itu.
Pengisytiharan berpelembagaan dibuat atas dasar pengisytiharan politik yang dipersetujui oleh tentera dan penunjuk perasaan pada 17 Julai lalu.
Ia akan membentuk peralihan kuasa kepada awam yang dipantau oleh sebuah majlis berkecuali terdiri daripada enam wakil rakyat dan lima wakil tentera.
Persetujuan itu dicapai selepas tunjuk perasaan berlangsung selama lapan bulan yang pada awalnya bertujuan menumbangkan pemimpin autokrat, Omar al-Bashir.
Omar tumbang pada April lalu tetapi tunjuk perasaan diteruskan bagi menentang majlis tentera.
Kira-kira 120 orang maut sepanjang tunjuk perasaan itu berlaku. – AFP, 17 Ogos, 2019.
Komen