UKRAINE menahan seorang warga Israel pada Sabtu yang disyaki mengetuai rangkaian pengedaran dadah utama dalam talian sehari selepas dia melarikan diri ketika diekstradisi.
Perkhidmatan keselamatan SBU Ukraine berkata pihaknya telah menemui Amos Dov Silver di “salah satu kawasan dalam negara” dan berkata suspek akan diekstradisi ke Israel “dalam masa terdekat.”
SBU juga berkata ia telah menahan tiga pekerjanya kerana disyaki membantu Silver melarikan diri di lapangan terbang Boryspil Kiev semasa proses ekstradisinya.
Pada hari Jumaat, polis Israel berkata Kiev memaklumkan bahawa Silver telah “melarikan diri daripada pengiringnya di Ukraine.”
Pejabat pendakwaraya Kiev berkata bahawa Silver berada di lapangan terbang Boryspil pada hari Khamis ketika dia melarikan diri dari pengawal keselamatannya dan “hilang”.
Silver ditangkap pada bulan Mac kerana didakwa menjalankan aktivit pengedaran dadah melalui jaringan di Amerika Syarikat, Ukraine, Israel dan Jerman menggunakan aplikasi telegram.
Polis Israel berkata pada masa itu rangkaian tersebut memiliki perolehan “puluhan juta” euro.
Silver mengasaskan jualan dadah dalam talian Israel bernama Telegrass.
Israel telah meluluskan eksport ganja perubatan tetapi pengeluaran dan penjualan dadah untuk tujuan rekreasi tetap menjadi kesalahan jenayah.
Pada tahun 2017, Kementerian Keselamatan Awam mengeluarkan penggunaan ganja rekreasi daripada senarai jenayah, dan menetapkan denda dan rawatan bagi pesalah permulaan.
Polis Israel mengatakan bahawa Silver dan rakannya dikatakan tidak hanya berurusan dalam jualan ganja bahkan dikembangkan kepada produk lain termasuk ekstasi, LSD, kokain dan bahan berbahaya yang lain. – AFP, 17 Ogos, 2019.
Komen