RATUSAN wanita Mexico mengadakan tunjuk perasaan bagi meminta perlindungan polis di ibu negara itu dan membantah sejumlah kes serangan seksual melibatkan anggota pihak berkuasa.
Pada awalnya, demonstrasi itu berjalan aman tetapi bertukar ganas apabila peserta bertindak membakar tingkat dua bangunan polis dan merosakkan sebuah stesen bas.
Penunjuk perasaan turut menconteng Monumen Kemerdekaan di Mexico City dengan ayat mengecam tindakan anggota polis merogol wanita.
Dua laporan tentang serangan seksual terhadap wanita pada bulan ini mencetuskan kemarahan golongan itu yang kemudiannya menggerakkan kempen bagi membela wanita daripada terus menjadi mangsa.
Antara kes yang berlaku termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dirogol oleh empat anggota polis dalam kereta peronda.
Seorang lagi anggota polis turut merogol remaja berusia 16 tahun di sebuah muzium beberapa hari kemudian.
Pihak berkuasa menggantung enam anggota polis yang terlibat bagi membantu siasatan, tetapi tiada penahanan dibuat setakat ini. – AFP, 17 Ogos, 2019.
Komen