JET Israel menggempur sekurang-kurangnya tiga sasaran di Semenanjung Gaza awal hari ini, tetapi tiada kematian dicatatkan, kata sumber keselamatan Palestin.
Serangan itu dilancarkan selepas satu roket dilancarkan dari wilayah Gaza ke selatan Israel lewat semalam.
Pesawat tempur Israel memusnahkan sebuah pos pemantauan Hamas di Beit Hanoun, di utara Gaza manakala dua lagi serangan di Gaza City dan Deir El Balah.
Tentara Israel mendakwa mereka hanya melancarkan dua serangan terhadap dua sasaran yang dipercayai milik Hamas.
Namun rejim Zionis tidak mengulas lanjut perkara itu.
Israel berkata serangan roket pada Jumaat merupakan yang pertama sejak 12 Julai.
Serangan roket itu dipintas sistem pertahanan Iron Dome selepas siren kecemasan dibunyikan di pekan Sderot.
Awal hari yang sama, seramai 32 rakyat Palestin cedera ditembak peluru hidup oleh Israel semasa mengadakan tunjuk perasaan di sempadan Gaza. – AFP, 17 Ogos, 2019.
Komen