Pulau Pinang hanya sedia sagu hati untuk projek PSR, kata ketua menteri


Zaim Ibrahim

Projek tambakan laut kontroversi Pulau Pinang mendapat bantahan banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2019.

TIADA pampasan disediakan kepada nelayan untuk projek terdahulu yang dijalankan kerajaan persekutuan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Katanya pada masa ini kerajaan negeri hanya bercadang untuk memberi bayaran sebagai pampasan untuk projek tambakan laut di perairan selatan (PSR).

“Projek-projek lain bukan kerajaan negeri misalnya di Tanjung Tokong (Seri Tanjung Pinang 2) merupakan projek swasta. Projek Jambatan Pulau Pinang adalah projek persekutuan.

“Setakat ini kalau Projek PSR dilaksanakan ia adalah projek negeri pertama dan sememangnya kita ada formula (untuk) memberi sagu hati kepada pihak terlibat,” katanya.

Namun beliau berkata, kumpulan nelayan di negeri itu masih boleh mengemukakan tuntutan yang belum diperoleh daripada projek terdahulu.

“Mereka boleh bawa rungutuan. Kita akan lihat sama ada berasas atau tidak,” katanya.

Chow juga berkata rundingan pampasan untuk nelayan bagi projek PSR yang melibatkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang itu masih belum dimulakan.

“Apabila sudah mula, pengisian dan perincian boleh dilakukan. Peringkat ini masih terlalu awal. (Tetapi) Projek-projek yang lepas saya percaya (kerajaan negeri) sudah tunaikan,” katanya lagi.

Beliau menjawab kandungan memorandum yang diserahkan semalam oleh Persatuan Nelayan Pulau Pinang kepada Yang Dipertua Negeri Abdul Rahman Abbas.

Nelayan itu menuntut pampasan kerana selain PSR, pelbagai projek tebus guna dan tambakan di negeri itu pada masa lalu membawa penderitaan kepada kehidupan mereka.

Salah satunya adalah janji bayaran RM12,000 kepada setiap nelayan sebagai pampasan bagi projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth yang menjejaskan nelayan Butterworth.

Sehingga kini, bayaran itu masih belum ditunaikan sepenuhnya dan jeti gantian untuk nelayan Butterworth tidak dibina.

Malah, tapak sementara yang diperuntukkan kepada nelayan itu juga kini dimiliki pihak lain, kata nelayan ini.

Kes kedua adalah projek pembangunan bandar tepi laut Seri Tanjung Pinang 2 (STP2) yang melibatkan nelayan Tanjung Bungah, Tanjung Tokong, Gurney dan Paramount.

Nelayan terlibat sudahpun menerima bayaran saguhati, RM15,000 untuk tekong dan RM2,000 bagi setiap awak-awak namun jeti gantian masih belum dibina.

Projek pembinaan tiga pulau buatan dalam PSR pula merupakan salah satu rancangan di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

Selain tiga pulau buatan berkeluasan 2,600 hektar, PIP juga melibatkan pembinaan terowong dasar laut menghubungkan pulau berkenaan dengan tanah besar.

Projek tambakan itu dibantah pelbagai pihak kerana akan menjejaskan komuniti nelayan selain risiko kemusnahan besar alam sekitar.

Keseluruhan projek itu dianggarkan bernilai RM49 bilion dan kerajaan negeri merayu dana berjumlah RM10 bilion daripada kerajaan persekutuan bagi membiayai sebahagian projek itu. – 17 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen