PUNCA kematian lebih 50,000 ikan sangkar di perairan Teluk Bahang belum lagi muktamad, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Jelasnya, Universiti Sains Malaysia (USM) masih meneruskan kajian terhadap kawasan itu dan memerlukan beberapa sampel sebelum mendapatkan punca sebenar kepada kejadian tersebut.
“Laporan awal telah dikeluarkan kepada YB Phee Boon Poh. Tetapi tidak boleh dikatakan penemuan muktamad lagi.
“USM sedang membantu membuat persampelan dan analisis terhadap sampel tersebut,” kata beliau ketika ditemui media dalam majlis Pesta Padi Antarabangsa 2.0 di Pulau Pinang.
Jelasnya, USM telah menemui petunjuk kepada punca kematian ternakan itu tetapi masih memerlukan masa untuk mencari punca sebenar.
Beliau mengulas kenyataan Phee semalam yang berkata kematian ikan tersebut disebabkan oksigen terlarut rendah (DO) yang terdapat dalam air,
Exco hal ehwal alam sekitar itu juga berkata kejadian tersebut pada awalnya disyaki berpunca daripada pencemaran logam berat tetapi ia di bawah paras yang dibenarkan.
Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Tan Shau Hwai dari USM turut mendedahkan, kandungan logam berat di perairan itu tinggi tetapi tidak menyebabkan kematian ikan.
Tambahnya, kadar nutrien di kawasan itu juga masih tinggi.
Pada Rabu, Jabatan Perikanan Pulau Pinang dalam satu kenyataan menafikan dakwaan bahawa kematian ikan itu disebabkan oleh keracunan dan pencemaran. – 17 Ogos, 2019.
Komen