Perbincangan White House untuk rundingan Taliban ‘berjalan lancar’


President Donald Trump berkata perbincangannya dengan pegawai tinggi AS untuk rundingan damai dengan Taliban berjalan lancar. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2019.

WHITE House memberi petanda semalam yang persediaan rundingan damai dengan Taliban di Afgahinstan, berkata perbincangan antara Presiden Donald Trump dan penasihat utama “berjalan lancar”.

Trump bertemu penasihat keselamatan utamanya termasuklah Setiausaha Pertahanan Mark Esper, Setiausaha Negara Mike Pompeo, Pengerusi Ketua Turus Tentera Joseph Dunford di kelab golf Bedminster, New Jersey, kata White House.

Turut hadir ialah orang penting keselamatan negara John Bolton dan Utusan Khas AS untuk rundingan Taliban Zalmay Khalilzad.

“Perbincangan berkisar kepada rundingan sedang berjalan dan perjanjian damai dengan Taliban dan kerajaan Afghanistan. Mesyuarat berjalan lancar dan rundingan akan diteruskan,” kata Timbalan Setiausaha Akhbar Hogan Gidley dalam satu kenyataan.

Trump di Twitternya turut menulis: “Baru sahaja habis mesyuarat yang sangat baik tentang Afghanistan. Banyak pihak yang bertelingkah dalam perang 19 tahun ini, dan kita, mahu mencapai perjanjian- jika mungkin!”

Harapan untuk perjanjian itu berlaku meningkat apabila AS mula menarik kembali 14,000 tenteranya dari Afghanistan selepas perang dua dekad itu.

Washington mahu menamatkan penglibatan di Afghanistan yang sudah menelan belanja AS$1 trilion, dan sejak menjadi presiden, Trump berikrar mahu menarik semua tenteranya di negara itu.

Sebagai balasan, Taliban akan komited kepada pelbagai jaminan keselamatan, termasuklah tidak akan membenarkan pengganas Al-Qaeda menjadikan Afghanistan kubu persembunyian mereka.

Perjanjian AS-Taliban bukan sahaja akan menghentikan perang Afghanistan, tetapi semua pemberontak perlu melakukan perjanjian damai dengan kerajaan Kabul disokong AS.

Walaupun AS dan Taliban mendakwa rundingan berjalan lancar, tidak banyak berubah di akar umbi.

Tahun lepas, angka dikeluarkan PBB mendapati rekod maut tertinggi dicatat apabila sekurang-kurangnya 3,804 orang awam maut, termasuklah 927 orang kanak-kanak.

Menurut Pejabat PBB untuk Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pula, lebih 217,000 menjadi pelarian kerana perang dalam tujuh bulan pertama 2017, menyebabkan usaha kemanusiaan terpaksa ditingkatkan di negara pecah perang itu. – AFP, 17 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen