Korea Utara sekali lagi lancar ujian senjata


Ujian itu adalah yang keenam selepas Korea Selatan menjalankan latihan ketenteraan dengan Amerika Syarikat yang menimbulkan kemarahan Pyongyang. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2019.

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un sekali lagi menyelia pelancaran “senjata baharu”, lapor media negara itu hari ini, sekaligus menyukarkan usaha denuklearisasi menjelang lawatan utusan AS di Pyongyang ke Seoul minggu depan.

Pelancaran semalam itu adalah ujian keenam sejak beberapa minggu lepas dibuat Korea Utara untuk membantah latihan ketenteraan tahunan AS-Korea Selatan yang dianggap Pyongyang sebagai latihan penaklukan.

Pegawai pertahanan di Seoul berkata Pyongyang menembak dua peluru berpandu jarak sederhana semalam, yang terbang sejauh 230 kilometer sebelum jatuh ke dalam laut antara Semenanjung Korea dan Jepun.

Laporan oleh Agensi Berita Pusat Korea berkata ujian itu mendapat “keputusan sempurna” yang membantu “mengukuhkan keyakinan terhadap sistem senjata”.

Pyongyang berulang kali menyuarakan bantahan terhadap latihan ketenteraan jirannya, tetapi sebelum ini tidak melakukan ujian senjata ketika latihan berlangsung.

Laporan KCNA dikeluarkan selepas Pyongyang menggelarkan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in “biadap” kerana berharap untuk menyambung semula rundingan antara Korea tetapi masih meneruskan latihan ketenteraan dengan Washington.

Rancangan menyambung semula rundingan antara Korea Utara dan Washington terhenti sejak mesyuarat tergempar kedua-dua pemimpin negara itu Jun lalu.

Washington, sekutu kuat Seoul, menempatkan 30,000 anggota tentera di Korea Selatan untuk mempertahankan diri daripada jirannya, Korea Utara. – AFP, 17 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen