Protes anti-Lynas di Kuantan akan diteruskan esok 


Chan Kok Leong

Pengerusi SMSL Tan Bun Teet berkata syarikat memproses nadir bumi Australia itu perlu hentikan operasi kerana gagal tunaikan janji mereka.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Ogos, 2019.

PROTES anti-Lynas di Taman Gelora, Kuantan akan diteruskan sebagaimana yang dirancang esok, kata kumpulan aktivis Save Malaysia, Stop Lynas (SMSL).

“Kita telah maklumkan kepada pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dua minggu lalu dan sejak itu mereka tidak menolak mahupun bersetuju, kami anggap aia sebagai setuju,” kata Pengerusi SMSL Tan Bun Teet kepada The Malaysian Insight.

Tan berkata, Taman Gelora merupakan tempat awam dan perhimpunan mereka tidak akan menimbulkan masalah kepada masyarakat umum.

“Lagi pun, kita telah mengadakan lebih daripada 10 protes sejak 2011 dan tiada sebarang isu yang timbul,” kata aktivis berusia 71 tahun itu.

Polis Kuantan berkata pihak penganjur tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Kuantan Mohd Noor Yusof Ali berkata, walaupun penganjur telah memaklumkan pihak polis, SMSL belum menerima kelulusan MPK untuk menggunakan Taman Gelora.

“Penganjur telah memaklumkan pihak polis tetapi mereka masih belum mendapatkan kebenaran pemilik atau penghuni tempat perhimpunan itu dan dalam kes ini, MPK yang menguruskan Taman Gelora.

“Saya masih menunggu daripada penganjur dan dimaklumkan mereka masih belum mendapat kelulusan MPK,” Mohd Noor dipetik sebagai berkata oleh New Straits Times.

SMSL akan menganjurkan perhimpunan bagi membantah keputusan Putrajaya untuk memberi lanjutan enam bulan kepada Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Taman Perindustrian Gebeng.

Menurut SMS, Lynas gagal menunaikan janji untuk mengurangkan buangan sisa radioaktif yang dihasilkan oleh loji berkenaan dan perlu menghentikan operasinya.

Protes berkenaan dijadualkan berlangsung pada pukul 7 pagi hingga 10 pagi di Taman Gelora Lama, Kuantan. – 17 Ogos, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen