Lebih 1,000 orang dijangka hadir majlis kebumi mangsa tragedi El Paso


Margie Reckard, 63, adalah salah seorang daripada 22 orang yang terbunuh apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di Walmart di bandar terletak di Texas itu pada 3 Ogos lepas, meninggalkan suaminya selama lebih dua dekad, Antonio Basco satu-satunya waris yang masih hidup. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2019.

ORANG ramai dijangka hadir majlis pengebumian seorang wanita yangt terbunuh dalam kejadian tembakan El Paso yang menyebabkan suaminya menduda tanpa keluarga lain.

Margie Reckard, 63, adalah salah seorang daripada 22 orang yang terbunuh apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di Walmart di bandar terletak di Texas itu pada 3 Ogos lepas, meninggalkan suaminya selama lebih dua dekad, Antonio Basco satu-satunya waris yang masih hidup.

“Dia jadikan saya lelaki paling bahagia dan bertuah di dunia. Tidak ada orang lebih bertuah daripada saya di dunia ini,” kata Basco dalam wawancara bersama CNN yang disiarkan semalam.

“Saya menunggunya berjalan keluar di pintu masuk. Saya juga cuba telefon dia,” kata Basco lagi.

Tidak mempunyai ahli keluarga lain, Basco memberitahu Perches Funeral Home, yang mengaturkan majlis pengebumian isterinya, yang beliau mahu menghantar jemputan terbuka kepada seluruh penduduk bandar untuk hadir majlis itu pada malam Jumaat.

Harrison Johnson, pengarah rumah pengebumian itu, memberitahu National Public Radio yang sejak jemputan itu dibuat di Facebook, ia dilawat lebih 11,000 kali, dengan lebih 1,000 orang dijangka hadir.

Katanya, rumah pengebumian itu hanya menampung 250 orang dan sedang berbincang dengan sebuah gereja untuk mengadakan majlis itu.

Laman GoFundMe juga meraih kutipan derma dalam talian lebih AS$25,000 (RM100,000) untuk membantu Basco, yang menguruskan sebuah perniagaan basuh kereta di bandar sempadan AS dan Mexico itu.

Pembunuhan massa itu dilakukan Patriick Crusius, seorang lelaki kulit putih berumur 21 tahun yang memandu lebih sembilan jam untuk ke El Paso bagi melakukan serangan. Selepas ditangkap, dia memberitahu polis sasarannya adalah “orang Mexico”.

Sebelum tragedi, Crusius menerbitkan manifesto pelampau kulit putih di internet menyuarakan kebimbangan “pencerobohan Hispanik” di Texas.

Pengkritik Presiden AS Donald Trump menuduhnya jadi punca kebencian sebegitu menular. – AFP, 17 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen